683,171 hektar tanah NCR telah diukur


KUCHING: Sejumlah 683,171 hektar tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) telah diukur menerusi Program Pengukuran Perimeter NCR Inisiatif Baharu di seluruh negeri setakat 30 November lalu, kata Menteri Muda Perancangan Sumber Datuk Mohd Naroden Majais.

Katanya, Jabatan Tanah dan Survei sudah melakukan program penyukatan tanah sejak 2013 yang menelan belanja sebanyak RM92.3 juta.

“Sehingga kini, secara keseluruhannya sejumlah RM92,315,956 telah dibelanjakan bagi tujuan pelaksanaan program pengukuran NCR Inisiatif Baharu ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, semalam.

Bagaimananpun Naroden berkata kerajaan negeri memerlukan peruntukan tambahan daripada kerajaan persekutuan bagi tujuan pengukuran tanah NCR yang belum disukat.

“Peruntukan tambahan itu akan digunakan untuk menyukat baki tanah NCR lain,” katanya.

Naroden mendedahkan bahawa setakat ini Sarawak mempunyai kira-kira 1.5 juta hektar tanah NCR yang telah dikenal pasti.

Katanya kerajaan negeri akan meneruskan program pengukuran di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) yang dijangka siap sepenuhnya penghujung 2016.

Sementara itu, ketika sesi soal jawab Persidangan DUN, Naroden berkata sejumlah 3,977 lot individu telah siap diukur dan diwartakan sebagai tanah Rizab Guna Sama Bumiputera (Pertanian) di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri melibatkan kawasan seluas 4,598 hektar.

Mengulas soalan Datuk Joseph Mauh Ikeh (BN-Tamin) tentang status terkini pengukuran tanah NCR, Naroden berkata sebanyak 16 kawasan seluas 77,088 hektar telah selesai diukur secara perimeter.

“Bagi pengukuran lot individu pula, satu kawasan sedang dalam proses peyukatan dan satu lagi kawasan akan dimulakan namun tertakluk kepada kesediaan pemilik tanah,” kata Naroden.

- Borneo Post Online

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget