Dr Rayong: Kuasai bahasa Inggeris sebagai bahasa perantara dunia


LIDONG, Betong: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili, Dr Johnical Rayong Ngipa menyarankan agar pelajar menguasai bahasa Inggeris yang menjadi bahasa perantara dunia.

Menurut beliau, hanya mereka mahir dan menguasai bahasa asing mampu mengejar impian kerana bukan semua individu mampu mencapainya.

“Saya berharap guru di negeri ini dan Sekolah Kebangsaan (SK) Issu Bangat, Betong khasnya dapat mencari kaedah terbaik dalam meningkatkan minat pelajar menguasai dan mendalami bahasa tersebut,” katanya.

Jelasnya, penguasaan bahasa Inggeris bukan bermakna kita mengabai bahasa Malaysia sebagai bahasa penghantar di negara ini sebaliknya penguasaan lebih satu bahasa merupakan bonus pelajar terutama graduan baharu keluar instirusi pengajian tinggi awam dan swasta.

Jelasnya, lebih malang kerana hampir kebanyakan graduan hari ini terutama dalam kalangan Bumiputera gagal menguasai bahasa tersebut dan tindakan proaktif harus dilakukan bermula dari usia kecil.

“Lagipun majikan hari ini lebih berminat mengambil calon pekerja yang boleh berbahasa Inggeris,” katanya berucap merasmikan majlis Merarau PIBG SK Issu Bangat di sekolah tersebut semalam.

Katanya, bidang pendidikan merupakan aspek terpenting dan mampu mengubah masa depan diri pelajar di kemudian hari.

“Jika kita mahu berjaya dalam hidup, kuncinya adalah pendidikan justeru timba dan dalami ilmu sebanyak mungkin,” katanya.

Tambahnya, ibu bapa harus mengembleng tenaga bersama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) meningkatkan keputusan akademik anak dan tidak meletak sepenuhnya tanggungjawab itu kepada guru-guru sahaja.

“Hanya menerusi penglibatan aktif semua pihak mampu memperbaiki keputusan peperiksaan anak-anak untuk melakar kejayaan yang lebih baik di kemudian hari.

“Malah menjadi harapan kerajaan untuk melahirkan graduan yang mampu memenuhi pasaran kerja kelak dengan menyediakan bantuan dan peruntukan saban tahun dengan harapan institusi pengajian di negara ini dapat melahirkan tenaga kerja mahir dan separuh mahir terutama dalam bidang vokasional dan teknikal,” katanya.

Katanya lagi, sekali pun sibuk dengan tugas harian namun akan sedaya upaya memenuhi undangan pihak sekolah di kawasannya yang terdiri daripada 18 buah sekolah rendah dan menengah.

“Semua sekolah diberi perhatian terutama SK Issu Bangat kerana pada Khamis lepas beberapa struktur rosak akibat angin kencang,” katanya sambil melahirkan rasa simpati dan berusaha membaik pulih kerosakan itu seberapa segera selepas mengadakan tinjauan di blok yang rosak.

Mengenai bidang politik, beliau mengajak rakyat khususnya pengundi sentiasa bersama beliau dan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang kini diterajui Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem di peringkat negeri dan Datuk Seri Najib Razak di peringkat pusat.

“Nasihat saya ialah di mana wakil rakyat anda, di situ anda berada dan bersama saya memberikan kemenangan kepada Adenan yang cukup prihatin keperluan rakyat luar bandar.

“Sejak mengambil-alih tampuk pemerintahan hampir dua tahun lalu beliau sudah melakar lebih 40 pencapaian cemerlang yang sangat dekat di hati rakyat.

“Antaranya menurunkan kadar tarif elektrik, memerangi pembalakan haram, mendapatkan autonomi pendidikan untuk negeri ini, menambahkan perkataan Dayak dalam borang rasmi dan sebagainya,” katanya.

Justeru beliau mengajak pengundi bersamanya mewakili BN yang akan mempertahankan konstituensi Engkilili pada pilihan raya negeri akan datang seterusnya memberikan mandat baharu kepada Adenan.

Terdahulu majlis merarau yang turut dihadiri Yang dipertua Edwin Merayong Jali, guru besar Amit@Raman Sebai, para kaunselor dan ibu bapa, Dr Rayong mengumumkan pemberian geran bernilai RM3,000.-Utusan Borneo

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget