ZIONIS ISYTIHAR AMAN PALESTIN PENGGANAS, RAMPAS WANG DERMA



KUCHING: Ketua Pegawai Eksekutif Aman Palestin Berhad, Awang Suffian Awang Piut berkata pihak rejim dua minggu lalu mengisytihar Aman Palestin sebagai sebuah organisasi pengganas.
Menurutnya, pengisytiharan itu kemudiannya telah dijadikan alasan pasukan bersenjata rejim untuk merampas sejumlah wang dana Persatuan Al-Aqsa untuk program Ramadan, sebahagiannya disalur oleh Aman Palestin hasil sumbangan rakyat Malaysia.
Bagaimanapun, Aman Palestin sebagai sebuah badan bantuan kemanusiaan antarabangsa menafikan sekeras-kerasnya tuduhan tersebut.
“Penubuhan Aman Palestin adalah untuk mengumpul dana daripada rakyat Malaysia untuk disalur kepada rakyat Palestin ditindas secara kejam di tanah air mereka sendiri oleh penjajah Zionis Israel.
“Pertubuhan kami tidak pernah sekali-kali terbabit dalam apa juga aktiviti keganasan mahupun menyokong atau memberi dana kepada mana-mana pihak bagi tujuan keganasan.
“Aman Palestin menyalur dana dikumpul semata-mata demi membantu rakyat Palestin menjalani kehidupan dengan membekalkan bantuan makanan, keperluan perubatan, infrastruktur, pertanian serta keperluan asas lain yang telah dinafikan oleh pihak rejim.
“Kami juga mengutuk tindakan pihak rejim Zionis yang merampas wang dana dari akaun bank milik Persatuan Al-Aqsa,” katanya.
Dana itu tegasnya bertujuan untuk program ‘Ramadhan Charity Project 2015’, di mana hampir 20,000 rakyat Palestin di tanah Palestin tanpa mengira agama akan menerima bantuan dalam bentuk pek makanan, baucar makanan, jamuan berbuka puasa serta sumbangan kepada anak-anak yatim dan fakir miskin.
Aman Palestin berpendirian bahawa pengisytiharan rejim Zionis terhadap Aman Palestin ini adalah taktik terbaru untuk menekan rakyat Palestin agar terus hidup sengsara, iaitu dengan menyasarkan organisasi bantuan kemanusiaan seterusnya menghalang bantuan daripada disalurkan.
Pihaknya menggesa agar negara-negara jiran Palestin serta komuniti antarabangsa agar turut mengutuk tindakan ini dan menggesa pihak rejim menghentikan ancaman mereka kepada organisasi bantuan kemanusiaan.
Aman Palestin berasa terpanggil untuk menjawab dan menyelar fitnah pihak rejim ini semata-mata demi tanggungjawab kami kepada semua penyumbang, serta untuk menjelaskan perkara sebenar kepada masyarakat antarabangsa.
“Pihak kami tetap dengan pendirian tidak mengakui kewujudan rejim di tanah Palestin sebagai sebuah negara Israel. Aman Palestin akan terus istiqamah dalam usaha membantu mereka yang tertindas. Semoga Allah bersama-sama kita.
“Aman Palestin dengan ini menegaskan bahawa menjaga, memelihara dan membebaskan Palestin serta Masjid Al-Aqsa adalah satu perjuangan yang suci lagi murni berlandaskan kepada agama, hak-hak kebebasan dan kemanusiaan.
“Aman Palestin tidak sekali-kali akan berhenti dalam meneruskan perjuangan suci ini dalam memberikan bantuan, tenaga, masa dan wang ringgit kepada rakyat Palestin dalam mengembalikan hak mereka sebagai sebuah negara yang merdeka,” tegasnya.
Aman Palestin juga akan terus menelanjang kezaliman, penindasan dan kekejaman Zionis Israel ke atas rakyat Palestin.
Justeru, dengan ini Aman Palestin menggesa kepada seluruh rakyat Malaysia khususnya dan masyarakat antarabangsa amnya berdiri bersama Aman Palestin memperjuangkan misi suci ini untuk membebaskan Palestin dan menyah keluar Zionis Israel dari bumi Palestin.
Teruskan sokongan anda dalam menghulurkan wang ringgit, masa dan tenaga bagi tujuan yang suci dan murni ini.

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget