KENAMAAN: Tun Taib dan Toh Puan Ragad mengunjungi rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri Ketua Menteri dan isteri di BCCK semalam. Turut kelihatan Wan Junaidi (kiri) dan isteri Datin Feona (kanan). |
KUCHING: Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud mengunjungi hari kedua Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini semalam.
Ketibaan Tun Taib dan isteri Toh Puan Datuk Seri Ragad Kurdi Taib di BCCK disambut mesra oleh Adenan dan isteri Datin Patinggi Datuk Jamilah Anu serta ahli keluarga lain yang setia menunggu kedatangan para tetamu dari seawal jam 10.30 pagi lagi.
Turut mengunjungi hari kedua rumah terbuka Ketua Menteri semalam ialah Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot Jaem bersama ahli keluarga masing-masing.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri dan Datuk Joseph Entulu Belaun, Timbalan Menteri Dalam Negeri Dato Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar juga hadir menyerikan majlis rumah terbuka Ketua Menteri.
Dalam pada itu, hari kedua rumah terbuka Ketua Menteri semalam terus meriah dengan kehadiran ribuan masyarakat berbilang kaum dan agama yang dibuka seawal jam 10.30 pagi hingga 4.30 petang.
Selain peluang untuk bersalaman dengan Ketua Menteri dan isteri, pengunjung yang hadir pada hari pertama dan kedua rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri itu turut disajikan dengan pelbagai hidangan.
Bagi menceriakan lagi suasana majlis, tetamu turut dihiburkan dengan persembahan muzik dan lagu-lagu raya oleh kumpulan pemuzik jemputan serta tayangan video nyanyian daripada Ketua Menteri yang mendendangkan dua lagu kegemarannya.
SAMBUT TETAMU: Adenan dan Jamilah (kiri) menyambut mesra kedatangan tetamu pada hari pertama rumah terbuka mereka di BCCK |
KENANGAN: Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Datuk Amar Mohd Morshidi Abdul Ghani (lima kanan) merakam kenangan bersama Adenan (lima kiri) dan Jamilah (empat kiri) serta yang lain |
AKRAB: Datin Wendy Lau (tiga kiri) mesra di samping Jamilah ketika mengunjungi hari pertama Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Ketua Menteri di BCCK |
- Borneo Post Online
Post a Comment