Sumbangan raya erat perpaduan Melayu, Cina



BETONG: Pertubuhan Meninggikan Akhlak Che Zhong Khor Betong meneruskan usaha memberi sumbangan kepada golongan yang memerlukan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang.
Ketua Operasi Program Tan Tai Tan memberitahu, sekali lagi mereka memberi bantuan kepada masyarakat Melayu di Betong sebagai persediaan sambutan Aidilfitri.
“Kami merancang memberi sedikit sumbangan kepada penduduk kurang berkemampuan bagi membantu mereka membuat persediaan Hari Raya yang bakal menjelang.
“Bukan sahaja sempena perayaan ini, malah sambutan Tahun Baharu Cina dan Gawai Dayak juga kami memberi sumbangan kepada penerima yang layak.
“Selain mengeratkan silaturahim masyarakat berbilang kaum yang terdiri daripada Melayu, Iban dan Cina, harapan kami program ini dapat menceriakan penerima,” katanya pada Majlis Penyampaian Sumbangan Aidilfitri kepada masyarakat Melayu di Kampung Melayu Pasa dan Kampung Baru Hilir dekat sini Isnin lalu.
Dengan mengambil pendekatan dalam konsep turun padang di mana ahli pertubuhan yang terdiri daripada unit kebajikan masing-masing hadir memeriahkan sambutan sambil berkenalan dan mendekatkan ahli pertubuhan dengan masyarakat.
“Kami fikir dengan cara ini, penyampaian sumbangan tepat sampai kepada individu yang berhak tanpa pilih kasih dalam kami menghulurkan bantuan dan ahli pertubuhan dapat melihat dengan sendiri kehidupan penerima,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Kampung Melayu Pasa Samat Latip merakamkan keterujaan atas sumbangan yang diberikan kepada penduduk kampungnya.
“Saya mewakili penduduk kampung yang menerima sumbangan kali ini mengucapkan terima kasih kepada Pertubuhan Che Zhong Khor yang bersusah payah datang dan melihat corak kehidupan masyarakat kami di sini dan menyampaikan sumbangan.
“Mungkin pendekatan yang mereka berikan berbeza dengan cara pada tahun-tahun lalu kerana sumbangan ini terus kepada penerima yang betul-betul berhak.
“Meskipun berbeza pegangan agama, namun kebajikan yang mereka berikan melambangkan perpaduan yang kukuh antara kaum di sini,” katanya.
Sebanyak 50 kotak air minuman berkarbonat dan duit raya disumbangkan kepada penerima dipilih secara rambang dengan melihat corak kehidupan penduduk dalam program turun padang bersama ahli pertubuhan.
Turut disampaikan 120 bungkusan berbuka puasa disumbangkan Petronas Betong dan disampaikan bersama pada program tersebut. -Borneo Post.

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget