Tumpuan pembangunan luar bandar RMK11 turut melibatkan masyarakat terutama golongan belia
SADONG JAYA: Program memperkasakan ilmu di kalangan masyarakat terutama golongan belia di kawasan luar bandar akan terus diperhebatkan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri berkata ia dizahirkan dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) yang mana tumpuan pembangunan luar bandar tidak hanya dari segi fizikalnya, tetapi juga melibatkan masyarakat di kawasan itu sendiri terutama golongan belia.
Malah, menurutnya, penekanan terhadap golongan belia diberikan melalui program latihan teknikal dan vokasional dalam melahirkan generasi baharu berkemahiran.
“Oleh sebab itu saya sentiasa menitikberatkan program-program memperkasakan ilmu bukan sahaja bagi golongan belia malah seluruh lapisan masyarakat di P200 Batang Sadong.
“Sebagai contoh, tahun lalu sebanyak RM1.6 juta diperuntukkan bagi menjalankan program-program melibatkan pendidikan dan modal insan, keusahawanan dan sosioekonomi, pembangunan komuniti dan kebajikan serta program sukan, kebudayaan, kesukarelaan dan keagamaan di seluruh Parlimen Batang Sadong,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Sumbangan Surau dan Masjid serta Bantuan Hari Raya kepada ibu tunggal dan warga emas Kampung Semera dan Jemukan di Masjid Riyadzulshalihin, Kampung Semera Lama di sini kelmarin.
Pada majlis itu, seramai 478 golongan warga emas dan ibu tunggal menerima sumbangan Aidilfitri.
“Kita bersyukur kerajaan sedia ada terus memberi perhatian dan keutamaan kepada sektor luar bandar kerana hasrat kerajaan adalah untuk menjadikan kawasan luar bandar sebagai kawasan pertumbuhan ekonomi baharu untuk rakyat,” tambah Nancy.
Beliau menjelaskan pada tahun ini beberapa projek di bawah Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) akan dilaksanakan.
“Antaranya ialah naik taraf padang sukan SK Haji Kelali Semera, naik taraf padang sepak takraw Kampung Semera Hilir, naik taraf pendawaian elektrik SJK Chung Hua Semera, baik pulih dua Jambatan Kayu Kampung Semera, naik taraf padang bola sepak SK Jemukan, naik taraf Surau Darul Ehsan Kampung Jemukan Hulu dan bina baharu gelanggang futsal Kampung Ulu Semera,” jelasnya.
Sementara itu, mengenai perkembangan mengenai pembinaan Perpustakaan Desa Kampung Semera, Ahli Parlimen Batang Sadong itu berkata, bangunan telah siap dibina manakala pemasangan utiliti, kelengkapan perabot dan pembekalan koleksi buku pula akan dilaksanakan pada Ogos nanti.
“Saya berharap kerjasama antara kita akan sentiasa utuh agar kita dapat bersama-sama bergerak maju dalam pembangunan seimbang yang direncanakan di kawasan kita dan menjadikan Parlimen Batang Sadong sebuah kawasan contoh di negara ini baik dari segi perpaduannya dan ekonominya yang meliputi semua lapisan masyarakat,” ujarnya.
Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sadong Jaya Aidel Lariwoo.-Utusan Borneo
Post a Comment