DAP sasar bertanding 30 kerusi DUN




KUCHING: Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak menyasarkan untuk bertanding di 30 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Pengerusinya Chong Chieng Jen berkata, bagi tujuan itu jentera DAP kini sedang menggiatkan usaha untuk menawan kawasan luar bandar yang dipinggirkan oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR).

“Tujuan kami melebarkan sayap ke luar bandar adalah kerana kami melihat banyak kawasan yang diperuntukkan kepada PKR telah dipinggirkan oleh calonnya selepas pilihan raya.

“Atas sebab itu, saya telah mengarahkan semua calon berpotensi DAP terutama bagi kawasan luar bandar agar mendahulukan rakyat di kawasan masing-masing tanpa mengira masa,” katanya pada sidang media di ibu pejabat DAP Sarawak di sini semalam.

Tambah Chong yang juga ADUN Kota Sentosa dan Ahli Parlimen Bandar Kuching, mana-mana individu yang bertanding atas tiket DAP haruslah sentiasa berada di kawasannya sama ada menetap atau bekerja di situ.

Sebab itu menurut Chong, kebanyakan daripada calon DAP melepaskan kerjayanya untuk terkecimpung sepenuhnya dalam bidang politik.

“Kami akui peluang untuk memenangi kerusi luar bandar adalah sukar bagi DAP kerana kami tidak mempunyai sumber kewangan seperti Barisan Nasional (BN).

“Tetapi saya percaya DAP mampu menawan kerusi-kerusi ini dengan memberi perkhidmatan yang konsisten kepada rakyat dengan mendekati rakyat secara peribadi,” katanya.

Dalam pada itu, antara kawasan luar bandar yang telah dikenal pasti oleh DAP ialah Tasik Biru (Mordi Bimol), Layar (Gerald Roger Anding), Tupong (Abdul Aziz Isa), Simanggang, Sri Aman (Leon Jimat Donald) dan Bengoh.

Pada PRN 2011, DAP memenangi 12 daripada 15 kerusi iaitu Padungan, Pending, Batu Kawah, Kota Sentosa, Repok, Meradong, Bukit Assek, Dudong, Pelawan, Kidurong, Piasau dan Pujut. - Utusan Borneo

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget