200 Anak Yatim Diraikan Dalam Majlis Berbuka Puasa #Sehatisejiwa KKMM



KUCHING, 9 Julai (Bernama) -- Kira-kira 200 orang anak yatim diraikan dalam Majlis Berbuka Puasa #sehatisejiwa anjuran Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) serta kerajaan negeri Sarawak di Masjid Darul Hana, Jalan Patingian di sini Khamis malam.

Mereka yang terdiri daripada anak-anak yatim dari kawasan sekitar Satok, Tupong dan Semariang yang berada dalam kawasan Parlimen Petrajaya, dihimpunkan di sini untuk turut memeriahkan lagi majlis, di samping bersama menyuburkan bulan Ramadan yang mulia ini dengan pelbagai amal ibadah.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek serta Menteri Perumahan dan Pelancongan Negeri Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Haji Openg menyampaikan sumbangan berupa wang tunai kepada anak-anak yatim itu sebaik sahaja acara bermula sekitar pukul 6 petang.

Kira-kira 2,000 tetamu, termasuk para pegawai kanan serta petugas dari KKMM Putrajaya memeriahkan lagi majlis ini, yang julung kali diadakan pihak kementerian di luar dari Wilayah Persekutuan.

Di awal majlis, para hadirin dihiburkan dengan persembahan lagu-lagu berunsur ketuhanan yang dipersembahkan oleh artis Pentarama dari Jabatan Penerangan Sarawak sebelum kumpulan nasyid "Khalifa" mengambil giliran membuat persembahan disusuli dengan tazkirah.

Para hadirin kemudiannya diperdengarkan dengan bacaan ayat suci al-Quran oleh Amnah Ayob, qariah dari Sarawak yang pernah menjadi juara Tilawah Al-Quran peringkat kebangsaan beberapa tahun lepas.

Sejurus selepas waktu berbuka puasa dan solat Maghrib, majlis diteruskan dengan penyampaian tazkirah sekali lagi oleh imam masjid Darul Hana, dan disusuli dengan solat Isyak.

Majlis diakhiri dengan jamuan moreh selepas solat Tarawih.

Terdahulu Shabery yang tiba di Sarawak hari ini, membuat kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri Sarawak di pejabatnya di Wisma Bapa di sini, dan sejurus kemudiannya dalam satu persidangan media beliau mengambil kesempatan untuk memperkenalkan logo sambutan Hari Kebangsaan tahun ini.

Beliau dijangka berlepas kembali ke ibu negara esok.

-- BERNAMA
Labels:

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget