KUCHING: Bukan hanya jelita dan menawan, kebijaksanaannya menjawab soalan dengan spontan melayakkan Elssey Lessianna Richard, 23, berasal dari Kampung Piching Tebakang, Serian menjadi pilihan juri sebagai juara Dayung Sangon 2014 anjuran Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA), malam kelmarin.
Anak pertama daripada dua adik-beradik dan masih menuntut di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam dalam Ijazah Pendidikan Jasmani dan Kesihatan itu ternyata berjaya menampilkan ciri-ciri dan imej Dayung Sangon menerusi gaya tersendiri.
Dengan kemenangan tersebut, gadis yang mendapat gelaran sulung Dayung Sangon DBNA ini berjaya membawa pulang RM3,000 berserta piala, hamper, barangan solekan, selempang, sijil serta jambangan bunga.
Elssey memberitahu, dia sememangnya tidak menyangka kemenangan tersebut menjadi miliknya memandangkan persaingan sengit daripada 12 finalis lain serta tidak pernah mendapat nombor pada pertandingan sebelumnya.
“Saya pernah menyertai pertandingan seperti ini dan terbaharu pada tahun lepas iaitu Miss Malaysia Kebaya 2013 yang mana saya hanya mendapat gelaran Ratu Elegan.
“Saya berasa sungguh gembira, berkat sokongan dan dorongan keluarga yang tidak putus, akhirnya saya berjaya pada pertandingan ini dan paling bermakna bagi saya ialah usaha saya berulang-alik dari UiTM untuk pertandingan ini membuahkan hasil,” katanya kepada pemberita selepas majlis.
Elssey memberitahu, wang kemenangannya itu akan disimpan untuk pembelajaran semester akan datang kerana dia yang turut bekerja sambilan sebagai model tidak mahu menyusahkan ibu bapanya.
“Saya bercita-cita menjadi seorang guru pendidikan jasmani.
“Namun pada masa sama saya berminat dalam keusahawanan yang mana pada masa ini saya ada membuka perniagaan secara dalam talian iaitu LC Collection, menjual beg tangan wanita, alat solekan dan banyak lagi,” katanya.
Dalam pada itu, sebagai duta setelah menjadi Dayung Sangon beliau berharap komuniti Bidayuh dapat terus berusaha membangunkan diri masing-masing kerana baginya sama seperti masyarakat lain masyarakat Bidayuh turut mempunyai banyak potensi.
Sementara itu, naib juara dimenangi oleh Jacqualine Ayong dan tempat ketiga Iesha Bezzant dengan masing-masing membawa pulang RM2,000 dan RM1,000 serta piala dan hamper.
Hadiah kepada juara disampaikan oleh isteri Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan Dato Sri Michael Manyin Jawong iaitu Datin Seri Mary Manyin.
Manakala hadiah naib juara dan ketiga disampaikan masing-masing oleh isteri Menteri Muda Khidmat Masyarakat dan Menteri Muda Perindustrian (Pembangunan Estet Perindustrian) Datuk Peter Nansian Ngusie Datin Rose Sudan dan Menteri Muda Kesihatan Awam Dr Jerip Susil iaitu Lee Chai Foong.
Penjurian pertandingan tersebut dinilai berdasarkan kecantikan sebanyak 50 peratus, kepintaran (20 peratus), pakaian (20 peratus) dan gaya (10 peratus).
Seramai 12 finalis daripada 41 peserta uji bakat berentap merebut gelaran Dayung Sangon 2014 pada majis yang berlangsung penuh meriah itu.-utusan borneo
Post a Comment