SYARIKAT telekomunikasi negara Celcom Axiata Bhd (Celcom) akan menambah baik rangkaian perkhidmatannya secara berterusan.
Ketua Pegawai Pemasarannya, Zalman Aefendy Zainal Abidin berkata, tahun ini sahaja, syarikat itu telah memperuntukkan RM1 bilion untuk penambahbaikan rangkaiannya di seluruh negara bagi perkhidmatan sedia ada.
"Kami akan berterusan memperbaiki, menambahbaik dan memodenkan rangkaian kami dalam memberi dan mengekalkan kualiti perkhidmatan kami," katanya selepas merasmikan kempen dan promosi terbaharu Celcom, Xpax menyambut semangat samba bersama KAX di Kuala Lumpur, semalam.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai tujuh kompaun bernilai RM310,000 yang dikenakan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia terhadap Celcom berhubung panggilan telefon bimbit terputus.
SKMM pada 12 Mei lalu, mengeluarkan 28 kompaun berjumlah RM1.2 juta kepada Celcom, Maxis, DiGi dan U Mobile selepas suruhanjaya itu menjalankan ujian kualiti perkhidmatan di seluruh negara, tahun lalu.
Sementara itu, Zalman berkata, Celcom menyasarkan peningkatan 30 peratus pengguna datanya bagi kempen terbaharu syarikat itu.
"Buat masa ini, sasaran Celcom adalah untuk memberi tumpuan dalam meramaikan lagi pelanggan menggunakan perkhidmatan datanya.
"Oleh itu, akan ada lebih banyak lagi kempen dan promosi berkaitan dengan perkhidmatan data yang kami sediakan bersempena musim bola sepak kali ini," katanya.
Kempen Xpax menyambut semangat samba bersama KAX itu bertujuan menyentuh semangat peminat bola sepak di Malaysia dengan memberi ganjaran kepada pengguna Celcom melalui lapan patung KAX edisi terhad.
Didatangkan dalam lapan karakter dengan jersi bola berlainan negara, patung KAX boleh didapati di cawangan Celcom Blue Cube dan Celcom Xclusive seluruh negara bermula hari ini.- sinar harian
Post a Comment