LUBOK ANTU: Seorang wanita orang kurang upaya (OKU), Meda Awik, 70, maut dalam kebakaran Rumah Ngumbang, Nanga Sumpa di Ulu Delok, Lubok Antu, kelmarin.
Mayat mangsa dijumpai dalam keadaan rentung di ruang tamu rumah panjang itu.
Kejadian pada jam 9 pagi itu menyebabkan 36 keluarga termasuk sebuah keluarga dari rumah persendirian hilang tempat berteduh.
Kebakaran yang dipercayai berpunca daripada penggunaan peralatan dapur gas itu dikatakan bermula di bilik tengah rumah panjang.
Tiga anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Betong yang diketuai oleh Sapuan Abu bergegas ke lokasi kejadian menggunakan bot selama dua jam.
Sebaik sahaja dimaklumkan kejadian itu, Ahli Parlimen Lubok Antu William Nyalau Badak dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batang Ai Malcom Mussen Lamoh turut bergegas ke tempat kejadian untuk menghulurkan bantuan.
Hadir sama dalam kunjungan itu ialah Pegawai Daerah Lubok Antu Jack Aman Luat, Ketua Polis Daerah Lubok Antu DSP James Johnanthan dan beberapa kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Nyalau menyampaikan bantuan wang tunai sebanyak RM7,200 kepada semua mangsa kebakaran tersebut, manakala Mussen sebanyak RM3,000.
Menteri Kemajuan Tanah, Tan Sri Datuk Amar Dr James Masing turut mengumumkan bantuan sebanyak RM5,000.
Dalam perkembangan sama, Nyalau dan Mussen masing-masing berjanji memberi bantuan tambahan sebanyak RM1,000 kepada setiap keluarga mangsa kebakaran terbabit.
Begitu juga dengan JKM yang tidak ketinggalan menghulurkan bantuan kepada mangsa kebakaran terbabit.-utusan borneo
Post a Comment