Adenan Cipta Sejarah,Jumpa ADUN Pembangkang

KUCHING: Sejarah tercipta apabila Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem mengadakan perjumpaan dengan para Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada parti-parti pembangkang di Dewan Undangan Negeri semalam.

Pertemuan kira-kira sejam lebih yang bermula jam 12.30 tengah hari itu diketuai Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen dan Pengerusi PKR Sarawak Baru Bian berlangsung di Pejabat Ketua Menteri, Tingkat 5, Kompleks Dewan Undangan Negeri.

Malah di samping kunjungan hormat tersebut, pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat negeri itu turut menikmati makan tengah hari bersama Adenan.

Adenan ketika ditemui menyifatkan perjumpaan tersebut adalah ‘saat bersejarah’ di mana ia adalah pertama kali wakil-wakil rakyat pembangkang mengadakan kunjungan hormat terhadap Ketua Menteri baharu.

“Ia adalah permulaan yang baik walaupun kami mempunyai perbezaan politik tetapi sekurang-kurangnya masih terdapat beberapa perkara yang boleh kita capai,” katanya.

Sementara itu, Chong berkata antara isu yang DAP kemukakan kepada Adenan ialah memberi jaminan akan bekerjasama bagi polisi-polisi yang benar dan adil.

“Apa yang kami harapkan ialah wujudkan pentadbiran yang lebih liberal dan terbuka di bawah kepimpinannya,” katanya sambil menambah isu lain yang turut dikemukakan ialah berkaitan tarif elektrik Sarawak dan imigresen serta Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Justeru, Chong berkata perjumpaan tersebut juga akan menjalinkan interaksi yang baik antara pembangkang dengan kerajaan BN Negeri pada masa depan.

“Bagaimanapun, kami akan kekal dengan pendirian untuk memujuk kerajaan agar mengubah dasar mereka kepada lebih berkesan dan memberi manfaat kepada Sarawak,” kata Chong yang juga ADUN Kota Sentosa.

Manakala Baru yang juga ADUN Ba’Kelalan berkata PKR akan mengadakan perjumpaan semula dengan Ketua Menteri dalam masa terdekat bagi membincangkan cadangan pindaan Kanun Tanah Sarawak mengenai NCR.

“Adalah sangat penting untuk kita mendapat kerjasama daripada Ketua Menteri dan berkongsi dengannya apa yang kami canangkan selama ini.

“Mungkin kami akan berjumpa lagi dengan Ketua Menteri pada November,” katanya.

ADUN Semop merangkap Pengerusi Kelab Penyokong BN Negeri Abdullah Saidol berkata perjumpaan tersebut adalah sangat mesra dan akan membantu kepada kemajuan Sarawak pada masa depan.

“BN mempunyai cara sendiri untuk memikirkan apa yang perlu dilakukan dan pembangkang juga begitu tetapi adalah lebih baik untuk kedua-dua pihak saling bertimbang rasa dan toleransi, bukannya melampau dalam banyak perkara,” katanya.

Adenan mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri yang kelima pada 28 Februari lepas menggantikan Pehin Sri Abdul Taib Mahmud, yang menyandang jawatan itu selama 33 tahun sejak 1981.

Taib kemudian dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri ketujuh.- utusan borneo
Labels:

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget