Ulangtahun ke-50 DAP: Roket dilancarkan di Seremban, 1965


SEREMBAN merupakan tempat kelahiran DAP kerana kemenangan Sdr Dr. Chen Man Hin dalam Pilihanraya Kecil DUN Rahang pada 11 Disember 1965 melancarkan Roket dalam persada politik tanah air .

Ini memaksa Kerajaan Perikatan pada ketika itu untuk mengiktiraf sebuah gerakan politik progresif yang sah dan mendapat sokongan rakyat dan seterusnya meluluskan pendaftaran parti DAP pada 18 Mac 1966.

Saya amat bangga kerana pada ambang DAP menyambut usia ke-50, saya memimpin DAP Negeri Sembilan sebagai Pengerusi Negeri dan menyandang kerusi Parlimen Seremban.

Kerusi Parlimen Seremban mempunyai nilai sentimental yang cukup besar kepada DAP kerana di sinilah lahirnya DAP dan kerusi ini diwakili oleh pengasas DAP, Dr Chen Man Hin antara 1969 hingga 1990.

Dan ketika DAP menyambut ulang tahun ke-50nya, kedudukan DAP Negeri Sembilan berada di tahap paling cemerlang dan kuat dengan memenangi semua kerusi yang kami tandingi dalam PRU13.

Bukan sahaja di Negeri Sembilan tetapi di seluruh negara, pencapaian DAP dalam PRU 13 adalah paling baik dalam sejarah 50 tahun parti ini.

Ini menunjukkan falsafah perjuangan DAP untuk menegakkan sebuah masyarakat yang berjiwa adil dan saksama berada di landasan betul dan mendapat sokongan rakyat Malaysia.

DAP selama-lamanya

Walaupun kebanyakan pemimpin dan ahli DAP terdiri daripada kaum Cina, namun DAP tetap akan mengekalkan ciri-ciri kepelbagaiannya dan meneruskan impian sebagai sebuah parti yang mewakili semua rakyat Malaysia.

Hari ini, kita mempunyai wakil rakyat DAP daripada kaum Melayu, wakil rakyat kaum India yang bilangannya lebih ramai daripada MIC, wakil rakyat kaum Kadazan di DUN Sabah.

Dan, kita harap dapat melahirkan wakil rakyat DAP daripada kaum Dayak pada Pilihan raya Negeri Sarawak tidak lama lagi.

Tidak dinafi, sokongan asas terhadap DAP selama ini adalah masyarakat Cina. Namun, DAP bukanlah sebuah parti Cina seperti yang ingin digambarkan oleh UMNO tetapi sebuah parti untuk seluruh rakyat Malaysia.

Kita tidak akan berjuang untuk mana-mana kaum tertentu sahaja tetapi perjuangan politik kita menjangkaui batasan kaum, agama dan wilayah.

Saya bangga kerana kepelbagaian kaum, bahasa, budaya dan agama yang wujud di Malaysia hari ini hasil perjuangan DAP untuk menentang dasar asimilasi yang cuba dilaksanakan UMNO pada 1970-an dan 1980-an.

Kepelbagaian dalam masyarakat majmuk merupakan satu kekuatan kepada Malaysia dan DAP sentiasa memperjuang dasar intergrasi dan bukannya asimilasi selama ini.

Impian perjuangan DAP ialah untuk melahirkan sebuah Bangsa Malaysia yang bersatu-padu dan hormat-menghormati antara satu sama lain dalam kepelbagaian masyarakat kita.

Generasi pelapis 50 tahun

Generasi pengasas banyak menyumbang kepada perjuangan DAP selama 50 tahun lalu. Tanpa pengorbanan mereka, tidak mungkin DAP dapat bertahan sampai ke hari ini. Namun, cabaran lebih besar menanti kita dalam 50 tahun akan datang.

Sama ada DAP dapat merealiasasikan falsafah perjuangannya melalui tampuk pemerintahan di Putrajaya bergantung kepada peranan yang bakal dimainkan oleh generasi pelapis hari ini.

Saya mengajak generasi pimpinan yang lahir selepas 1970-an dan 1980-an untuk berani tampil ke depan untuk menggalas tanggungjawab lebih besar dalam parti untuk membawa obor perjuangan DAP ke Putrajaya pada PRU 14 kelak.

Ramai pemimpin pelapis dalam parti yang lahir selepas 1970-an telahpun berada dalam barisan depan parti dan memainkan peranan penting dalam pucuk pimpinan parti.

Ramai dalam kalangan generasi yang lahir selepas 1980-an pula berada dalam pucuk pimpinan baru DAPSY. Malah, wakil rakyat DAP termuda iaitu Liow Cai Tung, ADUN Johor Jaya lahir pada 1986.

Ini membuktikan DAP sebuah parti yang mengutamakan suara generasi muda.

Musuh politik DAP amat dengki kepada pencapaian kita hari ini. Oleh sebab itu, mereka terus melempar tohmahan kononnya pimpinan DAP dikuasai oleh ‘Dinasti Lim’.

Tiada siapa dalam DAP yang mempertikai peranan yang dimainkan Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng dalam parti. Namun, tidak wujud soal ‘Dinasti Lim’ dalam DAP.

Saya menjadi Pengerusi DAP Negeri Sembilan pada usia 27 tahun. Saya bukan anak Lim Kit Siang. Inilah bukti terbaik bahawa DAP memberi ruang kepada sesiapa sahaja yang komited dalam perjuangan.

Justeru, saya mengajak anak-anak muda daripada segenap lapisan masyarakat tanpa mengira kaum, agama dan jantina untuk menyertai gerakan politik progresif ini untuk bersama-sama memacu perjuangan DAP ke arah ulang tahun ke-100 pada 2066.

* Disunting daripada ucapan Loke Siew Fook, Pengerusi DAP Negeri Sembilan merangkap Ahli Parlimen Seremban dalam Majlis Pelancaran Sambutan Ulang Tahun ke-50 DAP pada 9 Disember 2015.-Roketkini
Labels:

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget