SEPANG: Beratus-ratus penumpang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (klia2) terjejas dipercayai akibat system daftar masuk syarikat penerbangan tambang murah AirAsia Bhd mengalami masalah pagi tadi.
Jurucakap Malaysia Airports Holding Bhd (MAHB) berkata masalah itu berlaku kira-kira 10 pagi namun dapat diatasi 30 minit kemudian.
"Penumpang bukan terkandas, tetapi bilangannya yang bertambah menyebabkan masalah dalam sistem daftar masuk," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.
Sementara itu, jurucakap AirAsia memberitahu syarikat penerbangan itu mengalami pertambahan jumlah penumpang yang mendadak pada musim cuti persekolahan akhir tahun sehingga menyebabkan kesesakan di klia2.
"Pada kebiasaannya, AirAsia mengendalikan 30,000 penumpang sehari tetapi pada musim cuti, ia meningkat kepada 40,000," katanya.
Sebelum ini, AirAsia sebelum ini mengeluarkan nasihat perjalanan dengan meminta penumpang supaya tiba tiga jam lebih awal daripada waktu berlepas untuk mengelak kesesakan di beberapa lapangan terbang utama seluruh negara.
Menurut syarikat itu, formaliti perjalanan seperti pelepasan Kastam dan Imigresen serta pemeriksaan keselamatan mungkin mengambil masa lebih lama disebabkan pertambahan jumlah penumpang.
- Awani
Post a Comment