SHAH ALAM – Persempadanan semula Bahagian Pilihan Raya Persekutuan dan Negeri bagi Sarawak dari 71 kepada 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) didakwa dilakukan semata-mata untuk menyelesaikan masalah dalaman BN negeri itu.
Ketua Whip Parlimen DAP, Anthony Loke berkata tanpa pertambahan kerusi itu, BN Sarawak didakwa tidak dapat mengagihkan kerusi kepada parti komponen baharu yang menyertai BN negeri itu pada Disember tahun lepas.
“Kita lihat pertambahan kerusi itu lebih kepada membantu BN menyelesaikan masalah pengagihan kerusi mereka kerana BN Sarawak sudah berpecah, (kemudian) ada pertambahan dua parti baharu, iaitu UPP (Harapan Parti Rakyat Bersatu) dan Teras (Parti Tenaga Rakyat Sarawak).
“Kita melihat (usaha) ini sebagai satu cara untuk mereka menyelesaikan masalah dalaman BN,” katanya kepada Sinar Online.
Beliau mengulas keputusan Dewan Rakyat yang telah meluluskan Usul Persempadanan Semula Dun Sarawak yang dibawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kelmarin.
Ia susulan daripada keputusan Dun Sarawak meluluskan pindaan Undang-undang ke atas Fasal (2) Perkara 14 Perlembagaan Negeri Sarawak berhubung komposisi Dun negeri daripada 71 kerusi kepada 82 kerusi yang berkuat kuasa pada 5 Disember lepas.
Anthony juga berkata, pertambahan kerusi di negeri itu didakwa sengaja direka untuk mengekalkan kemenangan BN di Sarawak.
“Parlimen kekal, tetapi dari 71 kerusi kepada 82 kerusi daripada 11 kerusi itu, hanya satu atau dua kerusi yang diwujudkan dari kerusi-kerusi pembangkang atau DAP, yang lain-lain itu semuanya dari kerusi BN.
“Kebanyakan kerusi BN itu diwujudkan pertambahan satu kepada dua atau tiga kerusi. Sudah tentu akan memberikan satu cabaran hebat selepas ini,” jelasnya.
Anthony berkata lagi, walaupun pelbagai usaha telah dibuat termasuk mencabar persempadanan semula itu di mahkamah, namun ia tetap memberi kelebihan kepada BN.
“Bukan soal sedih, memang kita tahu mereka akan bawa ke Dewan Rakyat untuk diluluskan, kerana ada majoriti ahli Parlimen BN.
“Kita menjangkakan mereka menunggu pertambahan kerusi ini dalam persidangan (Dewan Rakyat) ini untuk diluluskan pertambahan kerusi itu, baru diadakan PRN Sarawak,” katanya lagi.
Post a Comment