Permufakatan BN rapatkan jurang antara kaum

Ia bagi memastikan semua rakyat mendapat layanan sama daripada k’jaan memerintah: Awg Tengah
LAWAS: Konsep permufakatan Barisan Nasional (BN) berjaya merapatkan jurang antara kaum bagi memastikan semua rakyat mendapat layanan sama daripada kerajaan memerintah.

Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata dasar politik diamalkan BN meletakkan kepentingan semua kaum, agama dan latar belakang sebagai asas perjuangan menyediakan ruang semua golongan dan lapisan rakyat melalui polisi memberi manfaat kepada semua pihak dan peringkat.

“Segala kekuatan hasil perpaduan dan keharmonian harus dipelihara sebaiknya bagi memastikan kestabilan politik dan memudahkan kerajaan menyalurkan setiap pembangunan diperlukan rakyat,” katanya pada Majlis Penyerahan Geran Kerajaan kepada 17 pertubuhan agama terdiri daripada gereja, kuil, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di sini, SJKC Sundar dan SJKC Trusan di sini.

Awang Tengah juga meminta orang ramai sentiasa berhati-hati dengan cabaran yang semakin kompleks hari ini khususnya penyebaran maklumat yang kurang tepat di media-media sosial terutama berkaitan isu keagamaan.

Beliau mengingatkan rakyat bahawa Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem memberi jaminan kepada semua rakyat Sarawak bahawa mereka bebas mengamalkan agama, budaya dan menggunakan kalimah Allah untuk agama mereka.

Malah, beliau meluluskan peruntukan berjumlah RM1.4 juta kepada 17 gereja, SJK dan pertubuhan kebudayaan kaum Cina di Lawas.

Ini merupakan peruntukan tahunan kerajaan membantu pertubuhan Cina, gereja dan SJKC menjalankan aktiviti mereka.

Hadir sama Residen Bahagian Limbang Datu Maria Hasman, Pegawai Daerah Lawas Husaini Hakim, Temenggung Sebli Hamid, Temenggung Kading Silo dan ketua-ketua jabatan.

Terdahulu, Awang Tengah menyampaikan geran kerajaan kepada Gereja SIB Omega Lempaki, Gereja Lempaki Tengah, Gereja Lempaki Asal dan Gereja Long dengan masing-masing menerima geran sebanyak RM30,000 untuk penganjuran aktiviti keagamaan dan memperbaiki kemudahan di gereja.

- Borneo Post Online

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget