Penambahbaikan Parlimen: Pandikar cabar 2 MP DAP letak jawatan


Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia mendesak dua ahli parlimen DAP meletak jawatan sekiranya penambahbaikan parlimen dilaksanakan dalam sesi persidangan awal tahun depan.

Desakannya itu berikutan tuduhan dua ahli parlimen DAP yang mendakwa Pandikar Amin gagal dan tidak menunaikan janji untuk membentangkan pembaharuan Parlimen.

“Saya nak mereka letak jawatan atau mengosongkan kerusi mereka jika pada fasa pertama pembaharuan akan dilaksanakan pada awal tahun depan dalam sesi Parlimen.

“Kalau mereka tidak letak jawatan, kalaupun mereka bangun beratus kali untuk mahu bercakap atau turut berbahas, saya tidak akan jemput untuk bercakap di bawah Peraturan Mesyuarat 35.

” Mereka tidak akan mendapat penghormatan dari saya sebagai Speaker,” katanya kepada BNBBC.my

Dua ahli parlimen DAP itu ialah Ng Wei Aik (Tanjung) dan Lim Lip Eng (Segambut).

Semalam kedua-dua mereka mendesak Pandikar Amin supaya meletak jawatan kononnya gagal membentangkan pembaharuan Parlimen kepada Perdana Menteri.

Kata Ng, penambahbaikan Parlimen itu perlu diluluskan Kabinet yang dipengerusikan Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum dibentangkan kepada Dewan.

Bagaimanapun Pandikar menjelaskan, kerana sesi perbahasan kali ini kesuntukan masa, menyebabkan perkara itu tidak dapat dibentangkan.

“Adalah benar bahawa fasa pertama penambahbaikan parlimen tiada dibentangkan pada sessi parlimen kali ini yang berakhir semalam atas sebab kesuntukan masa.

“Akan tetapi ini bukan bermakna bahawa janji tersebut tidak dapat ditunaikan kerana Parlimen boleh mengadakan persidangan khas untuk menimbangkan perkara mustahak pada bila-bila masa pun,” tambahnya.

Katanya, tindakan kedua-dua ahli parlimen DAP yang secara jelas membawa tuduhan tidak berasas itu, menunjukkan mereka tidak menghormati tempoh dan masa Speaker bagi memutuskan tentang sesuatu perkara.

“Saya tetap akan meletakkan jawatan jika fasa pertama penambahbaikan tidak terlaksana pada sesi persidangan pertama tahun depan.

“Tetapi, jika terlaksana saya minta dua yang berhormat itu meletak jawatan. Kalau mereka gagal berbuat demikian, saya anggap mereka itu sebagai ahli parlimen yang tidak bermaruah,” ujarnya.

Tambah Pandikar Amin lagi, jika mereka masih enggan meletakkan jawatan sebagai ahli parlimen, beliau akan ambil tindakan di bawah Peraturan Mesyuarat 35.

Di bawah peraturan tersebut, seseorang ahli parlimen yang hendak bercakap itu hendaklah berdiri di tempat duduknya dan sebelum dipanggil atau dijemput oleh Speaker untuk bercakap, dia tidak boleh bercakap.-BNBBC

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget