PETALING JAYA: Laporan Indeks Pembangunan Manusia oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mendedahkan Malaysia sebagai negara kedua terbaik untuk diduduki di Asia Tenggara selepas Singapura.
Menduduki kedudukan ke-62 daripada 188 negara yang terlibat dalam kajian itu, Malaysia adalah antara negara dengan skor indeks pembangunan manusia yang tinggi iaitu meningkat dari 0.641 pada 1990 kepada 0.779 pada tahun lalu.
“Indeks pembangunan manusia di Malaysia bertambah baik daripada sederhana kepada tinggi. Skor yang lebih tinggi menandakan pembangunan manusia yang lebih besar,” petik kata kenyataan PBB.
Bagaimanapun laporan yang sama turut menyatakan pembangunan manusia didapati tidak seimbang di seluruh dan dalam negara.
“Penduduk terkaya di Malaysia iaitu 10 peratus daripada populasi memegang 32 peratus daripada pendapatan negara pada tahun 2012 manakala 10 peratus penduduk termiskin pula hanya memiliki dua peratus,” kata laporan itu.
Malaysia yang kalah kepada negara jiran, Singapura yang menduduki kedudukan negara ke-11 terbaik di dunia bagaimanapun berjaya menewaskan negara-negara Asia Tenggara yang lain termasuk Indonesia (110), Filipina (115), Vietnam (116), Kemboja (143) dan Myanmar (148).
Komponen terdiri indeks pembangunan manusia itu terdiri daripada kadar kelahiran, jumlah tahun seseorang bersekolah dan pendapatan negara kasar per kapita.
- Free Malaysia Today
Post a Comment