KUCHING: Berkuat kuasa tengah malam 31 Disember ini, kutipan tol di Jambatan Tun Salahuddin di sini akan dimansuh sekali gus menjadikan Sarawak bebas tol menjelang Tahun Baharu 2016.
Perkara itu diumumkan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem semasa menyampaikan ucapan penggulungan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-17, semalam.
Menjelas lanjut mengenainya pada sidang media sejurus kemudian, Adenan berkata persetujuan untuk pemansuhan tol tersebut dicapai setelah rundingan kerajaan negeri dengan syarikat konsesi, Zecon Bhd.
“Syarikat itu telah bermurah hati dan kerana mereka mengambil berat tentang rakyat Sarawak,” katanya.
Selain itu, katanya, pemansuhan tol tersebut juga tidak melibatkan sebarang pampasan daripada kerajaan negeri.
“Syarikat terbabit cuma meminta kita membeli pejabat mereka di sana dan kita akan membuat tawaran harga kepada mereka untuk mengambil alih pejabat berkenaan.
“Namun, kita perlu membuat penilaian terlebih dahulu,” jelasnya.
Justeru, Adenan berkata kerajaan negeri merancang untuk menggunakan pejabat tersebut sebagai pejabat Loji Rawatan Kumbahan yang terletak berhampirannya.
Pemansuhan tol Jambatan Tun Salahuddin adalah seperti yang dijanjikan Adenan sebelum ini selepas pemansuhan tol bagi dua jambatan iaitu Jambatan Lanang di Sibu dan Jambatan ASEAN di Baram, Miri.
- Borneo Post Online
Post a Comment