Ibu pejabat Umno sudah melengkapkan siasatan berhubung ucapan Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 7 Disember di Kampung Baru dan dihantar ke Lembaga Disiplin untuk tindakan selanjutnya, kata Setiausaha Agung Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
Katanya, siasatan selesai dijalankan dan pihak jawatankuasa lembaga akan melihat tindakan sewajarnya diambil ke atas timbalan presiden Umno itu.
"Saya sudah hantar. Kertas siasatan sudah dibuat, kita tunggu sementaralah," kata Tengku Adnan kepada wartawan semasa perhimpunan agung hari ini.
Beliau ditanya sama ada Muhyiddin akan dirujuk ke Lembaga Disiplin susulan kecamannya kepada Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak.
Semalam, Ahli Majlis Tertinggi Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata tindakan Muhyiddin pada Isnin lalu sebagai melanggar disiplin parti.
Muhyiddin tampil di Kampung Baru bagi memberikan ucapan di hadapan ratusan penyokongnya dan meminta Najib supaya berehat sementara siasatan ke atas 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan derma wang RM2.6 bilion dalam akaun presiden selesai.
Muhyiddin membuat keputusan mengadakan himpunan tersebut selepas disekat daripada berucap merasmikan mesyuarat sayap parti pemerintah tersebut.
- The Malaysian Insider
Post a Comment