KUCHING: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak akan melancarkan dasar perjuangan parti dikenali 20 Perkara Ke Arah Sarawak Baharu pada 22 Julai ini.
Pengerusinya Baru Bian berkata, ia sebagai persiapan parti itu menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
“Mesyuarat hari ini fokus membincangkan 20 Perkara Ke Arah Sarawak Baharu. Saya tidak menggelarnya manifesto tetapi lebih kepada hala tuju parti pada Pilihan Raya Negeri nanti.
“Ia akan menjadi garis panduan kepada kami untuk menyelesaikan isu-isu yang sangat dekat di hati rakyat Sarawak khasnya dan Malaysia amnya,” katanya pada sidang media di ibu pejabat PKR Sarawak di sini semalam.
Menurut Baru, 20 Perkara Ke Arah Sarawak Baharu sangat bagus dan mempunyai fakta terperinci mengenai masalah terkini serta paling hangat membabitkan rakyat dan negeri Sarawak.
“Saya percaya ini adalah pendekatan yang sangat realistik dan praktikal diambil Keadilan untuk rakyat Sarawak pertimbangkan semasa Pilihan Raya Negeri nanti,” katanya.
Baru yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ba’Kelalan berkata antara inti pati 20 Perkara Ke Arah Sarawak Baharu ialah kebebasan beragama, kenegaraan dan kerajaan, kebebasan, tanah, keadilan ekonomi, infrastruktur awam, penjagaan kesihatan, bekalan elektrik serta air dan isu pendidikan.
Beliau berkata 20 Perkara Ke Arah Sarawak Baharu akan dilancarkan pada 22 Julai ini di Kuching oleh Timbalan Presiden PKR yang juga Menteri Besar Selangor Azmin Ali.
Pada hari sama juga Azmin dijadual merasmikan Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri PKR Peringkat Negeri di tempat yang akan dimaklumkan kemudian.
Dalam perkembangan lain, Baru berkata Jawatankuasa Pilihan Raya Negeri (JPRN) PKR Sarawak diketuai Naib Presiden See Chee How menetapkan Indeks Pencapaian Utama (KPI) untuk setiap pemimpin di peringkat akar umbi.
Katanya JPRN akan memantau pergerakan di peringkat akar umbi yang dilaksanakan di setiap 29 cabang parti di seluruh negeri dan mereka yang berjaya mencapai KPI ditetapkan kepada mereka sekurang-kurang 80 peratus akan diberi insentif dalam bentuk peruntukan.
Peruntukan itu jelasnya walaupun dalam kuantiti yang sedikit, ia dapat digunakan untuk melaksanakan program-program seterusnya.
“Ini adalah sebahagian daripada persiapan PKR Sarawak memilih calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri nanti.
“Namun sudah tentu ciri lain ditekankan iaitu potensi boleh menang, latar belakang dan jika anda mahu menjadi calon, anda mesti melaksanakan tugas dengan baik,” katanya.
Beliau berkata parti tidak akan mengulangi kesilapan sebelum ini iaitu memilih calon pada saat-saat akhir menyebabkan parti tidak mempunyai masa yang cukup untuk memperkenalkan mereka kepada pengundi.
“Kali ini kami akan memperkenalkan muka-muka baharu, turun padang bertemu dan berkhidmat untuk rakyat di setiap cabang.
“Kami mahu melihat potensi mereka sebagai calon boleh menang.
“Perlu diingatkan juga kami mahu memastikan setiap kerusi DUN tidak akan memberi laluan mudah kepada Barisan Nasional (BN),” ujarnya.-Utusan Borneo
Post a Comment