Seoul | Nahas Kereta Api, 200 Cedera

Seoul: Korea Selatan berdepan kemalangan membabitkan pengangkutan kedua serius dalam masa dua minggu semalam apabila dua kereta api bawah tanah bertembung, menyebabkan 200 cedera tetapi tiada laporan sebarang kematian.

Kemalangan tersebar ketika negara itu masih belum pulih daripada bencana feri pada 16 April lalu yang menyebabkan kira-kira 300 mati atau hilang, kebanyakannya pelajar sekolah, selepas bot yang dinaiki mereka karam.

Tragedi feri mencetuskan kemarahan umum dan menimbulkan persoalan sama ada negara itu yang kini menjadi negara ekonomi keempat terbesar di Asia mengorbankan piawaian keselamatan dalam keghairahan melakukan pembangunan.


Kebanyakan mangsa cuma melecet, menurut pegawai kecemasan di stesen Sangwangsimni di timur ibu negara, walaupun seorang dirawat kerana pendarahan otak dan seorang lagi kerana patah tulang.

Butiran mengenai kemalangan kereta api bawah tanah itu tidak jelas, tetapi satu tren berhenti di stesen berkenaan apabila tren kedua merempuh belakangnya pada jam 3.30 petang waktu tempatan.

Dua gerabak akhir tren yang berhenti itu tergelincir dari landasan akibat impak pelanggaran, lapor agensi berita Yonhap.

Tingkap retak
Rakaman televisyen menunjukkan tingkap retak pada kedua-dua tren, dan satu pintu menyambung dua gerabak rosak teruk. Satu imej menunjukkan lantai dicemari kesan darah membawa kepada pintu gelungsur dalam satu gerabak.

“Kereta api yang sedang bergerak merempuh tren yang berhenti di stesen,” kata pegawai jabatan bomba, Kim Kyung-su, pada sidang media.-Berita Harian
Labels:

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget