Bantah GST | Tiga Petugas Media Dikasari

KUALA LUMPUR, 1 Mei (Bernama) -- Tiga petugas media yang membuat liputan perhimpunan bantah cukai barang dan perkhidmatan (CBP) di Dataran Merdeka hari ini mendakwa dikasari sekumpulan peserta perhimpunan itu.

Dalam kejadian yang berlaku ketika perhimpunan mula bersurai sekitar 4.30 petang itu, dua daripada petugas media itu ditumbuk dan disepak, sementara seorang lagi terkena balingan kayu.

Jurukamera Xinhua News Agency, Mohd Zul Iskanda Mohd Hanafiah, yang ditendang dan terkena balingan kayu ketika ditemui Bernama, berkata beliau bersama beberapa petugas media lain diprovokasi oleh sekumpulan pemuda yang berpakaian serba hitam dan menutup muka.

"Saya dan petugas media lain tak buat apa-apa pun, tengah rakam perbuatan dia orang, tiba-tiba masa itu di orang tolak-tolak media yang tengah buat liputan akhirnya saya ditendang dua kali dekat perut.

"Nasib baik kamera saya tak pecah, cuma penutup lensa saya saja yang jatuh," katanya.

Sementara jurufoto Focus Malaysia, Sharil Amin Abdul Rahim mendakwa beliau ditumbuk dan disepak, sementara jurufoto Malaysian Reserved Hafzi Mohamad terkena balingan kayu.

Setiausaha Agung Persatuan Jurufoto Media Malaysia (MPPA) Mohammad Naim Firdaus Abdul Aziz berkata pihaknya akan membuat laporan polis mengenai kejadian itu.

Beliau berkata pihaknya memandang serius perkara itu yang sepatutnya tidak berlaku kerana perhimpunan tersebut mendapat kebenaran pihak berkuasa.

"Kami kesal dengan segelintir kumpulan pemuda (peserta perhimpunan itu) yang masih bertindak liar dengan menyerang jurufoto media yang bertugas," katanya dalam kenyataan di sini.

Kejadian itu dikatakan bermula apabila sekumpulan pemuda yang memakai topeng dan berpakaian serba hitam melakukan provokasi dengan mengeluarkan kata-kata kesat dan menunjukkan isyarat lucah kepada petugas media yang sedang bertugas.

Kumpulan pemuda itu juga dikatakan menyalakan suar dan seterusnya berlaku kekecohan ketika kumpulan jurufoto media cuba menghampiri mereka.

Sementara itu, Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), yang merupakan antara badan bukan kerajaan (NGO) yang menganjurkan perhimpunan itu, menafikan kumpulan anak muda dikenali sebagai Kumpulan Anarki yang menyerang petugas media sejurus selepas tamat perhimpunan itu daripada kalangan anggota badan itu.

Pengasas SAMM, Badrul Hisham Shaharin atau dikenali sebagai Chegubard berkata kumpulan anak muda terbabit yang turut memakai baju bewarna hitam bagaimanapun bukan sebahagian daripada mereka.

"Anak muda ini mempunyai semangat tinggi untuk memprotes namun saya kesal kerana mereka bertindak mengasari petugas media dan saya memohon maaf atas perlakuan mereka," katanya kepada pemberita di sini.

Ditanya apakah langkah yang diambil SAMM bagi mengelakkan perkara seumpama ini berlaku, Badrul Hisham berkata: "Saya tak pasti bagaimana untuk mengawal situasi seperti ini jika berulang."

-- BERNAMA
Labels:

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget