50 tahun Gawai dalam gelap, akhirnya penduduk Ulu Balingian dapat bekalan elektrik

Penduduk Ulu Balingian tidak lagi sambut Gawai dalam keadaan gelap selepas nikmati bekalan elektrik

SELANGAU: Penduduk tujuh rumah panjang di kawasan Tepus, Ulu Balingian tidak lagi menyambut Gawai Dayak dalam keadaan gelap gelita selepas menikmati bekalan elektrik daripada projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) sekitar Mac lepas.

Rumah panjang yang terlibat ialah Rumah Kuleh Tanding, Rumah Bundak Ambon, Rumah Janggu Meta, Rumah Slyvester Bana Lasit, Rumah Chunggat Manit, Rumah Patrick Intai Ringgit dan Rumah Suna Langgat.

Majlis perasmian telah disempurnakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Joseph Entulu Belaun yang juga Ahli Parlimen Selangau di Rumah Suna Langgat, Ulu Balingian, semalam.

Menerusi ucapannya, Entulu menasihati penduduk kawasan luar bandar agar tidak menimbulkan sebarang masalah terhadap pelaksanaan projek kerajaan di kawasan masing-masing.

Katanya perkara itu penting kerana tindakan sedemikian bukan sahaja mengganggu kelancaran sesebuah projek malah boleh mendatangkan kerugian kepada rakyat jika pelaksanaan projek dihenti.

“Misalnya dalam pelaksanaan projek bekalan elektrik terdapat kes di mana pemilik tanah meminta bayaran pampasan terlalu tinggi, malah ada yang tidak membenar kontraktor mendirikan tiang elektrik atas tanah mereka.

“Begitu juga dengan pelaksanaan projek lain seperti bekalan air bersih, pembinaan jalan raya dan sebagainya.

“Kes seperti ini menyebabkan pelaksanaan projek terjejas dan ada projek yang tidak dapat dijalankan gara-gara tindakan pemilik tanah sendiri,” jelasnya.

Tambah beliau, terdapat juga pihak cuba mengganggu usaha murni kerajaan dalam melaksanakan kerja penyukatan perimeter tanah Hak Adat Bumiputera (NCR).

“Pihak terbabit menghasut pemilik tanah NCR dengan memberitahu bahawa kerajaan hendak merampas tanah rakyat dengan melakukan kerja-kerja penyukatan perimeter tanah.

“Semua ini tidak benar sama sekali. Sebaliknya, kerajaan menyediakan peruntukan yang banyak untuk tujuan penyukatan tanah NCR bagi membolehkan pemiliknya mendapat surat pemilikan tanah yang sah, bukannya hendak merampas tanah rakyat,” katanya.

Entulu turut memuji usaha kerajaan negeri yang diketuai oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem yang komited dalam melaksanakan pelbagai dasar termasuk penyukatan tanah NCR.

“Justeru, saya menggesa penduduk luar bandar khususnya supaya tidak menimbulkan masalah terhadap usaha murni yang dilakukan kerajaan dalam pelaksanaan pelbagai bentuk projek kerana semuanya adalah demi kebaikan rakyat,” tegasnya.

Projek BELB dilaksanakan ketika Entulu memegang jawatan Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

Sementara itu, projek tersebut melibatkan tujuh rumah panjang di kawasan Tepus dan Balingian disambung bekalan elektrik sekitar Mac tahun ini.

Manakala pelaksanaan projek BELB merangkumi tiga rumah panjang lagi di sekitar kawasan Kualau Pelugau, Ulu Balingian akan dilakukan sebelum sambutan Hari Gawai Dayak.

Hadir sama Setiausaha Politik Menteri di Jabatan Perdana Menteri Adriana Chumang Nyambong, Penghulu Thomas Jawa dan Penghulu Michael Jelani.-Utusan Borneo

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget