Pemuda PBB Pelawan mohon Adenan melantik Dr Annuar menteri muda


SIBU: Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Pelawan memohon Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem melantik ADUN Nangka Dr Annuar Rapa’ee sebagai menteri muda.

Pengerusinya Mohd Junaidi Sambang berkata ini berdasarkan prestasi cemerlang Dr Annuar memberi perkhidmatan bagi tempoh lima tahun lalu yang terbukti dalam Buku Laporan Prestasi (My Report Card) ADUN Nangka.

Katanya pada Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN11) lalu keputusan menunjukkan peningkatan ketara dengan majoriti besar dan peratusan memberangsangkan.

“Dari sudut penampilan dan keperibadiannya yang mesra rakyat, sememangnya beliau sangat layak dilantik sebagai menteri muda,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, Dr Annuar sangat mengambil berat isu dan masalah rakyat di kawasan dikuasai pembangkang.

Ini katanya, membuktikan beliau bersungguh-sungguh membela nasib rakyat setempat tanpa mengira kawasan.

Sementara itu, Pemuda PBB Pelawan turut mengadakan majlis kesyukuran dan terima kasih kepada Dr Annuar di Bangunan PBB Pelawan, Jalan Bandong.

Turut hadir Timbalan Ketua PBB Pelawan Abang Mohamad Abang Jes.

Sementara Ketua Pemuda PBB Unit Jasmin Abang Hafiq Abang Kassim turut menyuarakan perkara yang sama.

“Sudah tiba masanya bahagian Sibu diberi penghargaan atas pencapaian cemerlang pada PRN11, jawatan menteri muda kepada Dr Annuar,” katanya.

Ketua Unit Angkatan Warisan Anak Sarawak (AWAS) Paradom Sharif Omar juga memberi sokongan dengan harapan Dr Annuar dilantik sebagai menteri muda.

Selama ini, Dr Annuar kerap kali berjumpa dengan masyarakat Paradom dan bertanya khabar serta isu semasa yang memungkinkan beliau mengambil tindakan sewajarnya.

“Pemasalahan penduduk Paradom masih belum mempunyai surau, yang mana penduduk Islam di sana sekitar 210 orang.

“Atas budi bicara beliau, kini masyarakat Paradom mempunyai sebuah surau sementara sejak lima bulan lalu,” katanya.

Bagi Afryzam Mohd Asheri, pengundi kawasan Dudong yang hampir setahun menerima rawatan hemodialisis berasa terharu dengan bantuan Dr Annuar selama ini meringankan beban kos rawatannya.

“Kami sekeluarga sangat terhutang budi. Saya sangat yakin banyak pemasalahan rakyat dapat diatasi beliau secara ihsan dan peribadi,” katanya.

- Borneo Post Online

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget