Pemimpin Umno jangan gila jawatan


SHAH ALAM – Ahli dan pemimpin Umno diingatkan agar tidak ghairah mengejar kedudukan dan jawatan sebaliknya perlu berjiwa besar dengan mengambil pendekatan untuk terus berkhidmat kepada rakyat.

Ketua Umno Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berkata, akibat terlalu gilakan kedudukan, dikhuatiri seseorang itu akan cenderung melakukan perkara yang melanggar tatasusila parti.

Malah katanya, kadang-kala berlaku pertelingkahan sesama ahli parti bersabit penentuan calon untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum (PRU) atau Pilihan Raya Kecil (PRK).

"Pada hemat saya, tanpa jawatan penting pun kita boleh mencurahkan khidmat bakti kepada Umno dan rakyat, jika kita benar-benar ikhlas dalam perjuangan dan sayangkan parti,” katanya melalui blog Umno Cheras.

Beliau turut mengingatkan semua pemimpin bahawa rakyat sedang memerhati perlakuan pemimpin Umno termasuk di peringkat cawangan dan bahagian.

Dalam pada itu, beliau berkata perbuatan khianat kepada parti dan terlalu gilakan kedudukan serta jawatan perlu dihindari bagi memastikan Umno dipandang mulia.

“Jika gejala seperti itu berterusan berlaku, lambat laun dikhuatiri Umno akan menjadi rosak dan akhirnya dicemuh oleh rakyat.

“Inilah mencetuskan persepsi negatif terhadap parti dan kepimpinannya apabila berlaku fitnah-memfitnah dan provokasi sesama ahli Umno,” katanya.

Malah katanya situasi itu tidak mustahil akan berlanjutan sehingga musim PRU akan datang.

Katanya, Umno memerlukan keahlian yang sayangkan kepada parti dan setia kepada pemimpin walaupun ketika parti dilanda masalah atau krisis.

- Sinar Online
Labels:

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget