KUALA LUMPUR - Kenyataan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menggesa rakyat menolak calon Barisan Nasional (BN) pada dua pilihan raya kecil (PRK) bulan depan umpama seorang bapa yang sanggup membunuh anak yang dibesarkannya, kata Anggota Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu berkata, bekas perdana menteri itu kini sanggup melibatkan rakyat pula untuk menolak BN setelah perjuangannya dilihat tidak mendapat sambutan daripada pemimpin pembangkang.
"Saya lihat pembangkang pun tidak mahu berkawan dengan dia dan pihak kerajaan dari BN pun kecewa dengan beliau.
"Beliau (Dr. Mahathir) dilihat sebagai keseorangan sekarang ini sehingga sanggup membunuh anak (BN) yang dilahir dan dibesarkan serta menyeru orang 'membunuh anaknya sendiri"," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini, semalam.
Dr. Mahathir dalam satu majlis di Stadium Melawati, Selangor baru-baru ini dilaporkan meminta rakyat menolak calon BN pada PRK Parlimen Sungai Besar, Selangor dan Parlimen Kuala Kangsar, Perak pada 18 Jun ini.
- BERNAMA
Post a Comment