SPDP Mahu Lebar Sayap Di Luar Sarawak



MIRI - Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP), salah satu parti komponen Barisan Nasional (BN) Sarawak, bercadang menubuhkan tujuh cawangan parti itu di Johor.

Presidennya Datuk Seri Tiong King Sing berkata buat masa ini tujuh cawangan tersebut hanya dikenali sebagai Kelab SPDP dan permohonan untuk menukar status kelab kepada cawangan akan dikemukakan kepada Pendaftar Pertubuhan (RoS) dalam masa terdekat ini.

"Cadangan tujuh cawangan dibuka secara berperingkat adalah Permas Jaya, Johor Jaya, Tiram, Skudai, Nusa Jaya, Machap dan Layang-Layang," katanya dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan sempen Jamuan Malam pra-Gawai 2016 di Parlimen Pasir Gudang, Johor di Pasar Borneo Johor yang dihadiri lebih 2,000 penduduk kaum Dayak yang bekerja dan menetap di Johor, malam tadi.

Acara itu dirasmikan oleh ahli majlis, Majlis Bandaraya Johor Baharu (MBJB), Abdul Latiff Ismail, yang mewakili Menteri Besar Johor, Datuk Mohamed Khaled Nordin.

Berdasarkan rancangan penubuhan tujuh cawangan tersebut, Tiong telah mencadangkan pembentukan jawatankuasa sementara di setiap tujuh kawasan itu sebelum permohonan dirujuk kepada RoS.

Abdul Latiff, ketika berucap pada majlis itu, berkata kerajaan negeri Johor mengakui sumbangan komuniti Sarawak terhadap pembangunan Johor terutama peranan Persatuan Borneo Johor (JBA) dalam menggalakkan perpaduan serta meningkatkan status sosioekonomi anggota persatuan itu.

"JBA telah membantu peniaga kecil mendapatkan lesen perniagaan sehingga 65 peniaga kecil daripada masyarakat Cina, Melayu, Iban dan India mendapat ruang niaga di Pasar Borneo Johor," katanya sambil menambah pasar itu kini menjadi antara daya tarikan pelancong di negeri itu.

Buat masa ini, adalah dianggarkan lebih 50,000 penduduk komuniti Dayak bekerja atau menetap di Johor.

Hadir sama pada majlis itu Anggota Parlimen Simpang Renggam, Datuk Liang Teck Meng, Pengerusi JBA, Donny Linan, Presiden Kelab SPDP Johor, Dinggan Birai dan setiausaha politik kepada Ketua Menteri Sarawak, Datuk Paul Igai.

- BERNAMA

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget