Orang Sarawak tolak politik maki hamun


KUCHING: Kemenangan Barisan Nasional (BN) Sarawak membuktikan mesej jelas bahawa masyarakat negeri ini menolak pengaruh politik negatif dari parti luar.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samariang, Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata perkara itu menjadi kenyataan berikutan kejayaan besar BN Sarawak yang kembali menjadi pemerintah membentuk kerajaan.

Katanya, Sarawak hanya menerima politik pembangunan sekali gus menolak keras unsur negatif yang cuba dibawa masuk ke dalam kancah politik di negeri ini.

“Kita tidak mahu politik cerca, maki hamun atau apa sahaja politik berunsur negatif, kita hanya mahu politik pembangunan di Sarawak.

“Justeru, mesej kita jelas bahawa Sarawak akan terus bersama BN,” kata Hasidah semasa berucap pada majlis Makan Malam Penghargaan Jentera BN-PBB Samariang di sebuah hotel terkemuka di Kuching, malam kelmarin.

Hasidah turut berterima kasih kepada barisan jentera parti yang bertungkus lumus dalam memastikan kelangsungan kejayaan BN-PBB Samariang pada Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN11) lalu.

Mengulas lanjut, Hasidah berkata kemenangan besar yang dikecapi pada pilihan raya lalu memberinya tanggungjawab yang lebih besar.

Bagaimanapun, beliau akan terus menepati janji BN dengan menyelesaikan masalah dan isu dihadapi penduduk kampung.

“Tanggungjawab besar, maka komitmen kita juga besar setelah menang besar, tetapi kita akan terus bantu masyarakat selepas ini,” jelasnya.

Hasidah berkata ia bagi mewujudkan solidariti untuk terus mengekalkan kemenangan BN di kawasan Samariang.

- Borneo Post Online

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget