Dua TKM manfaat besar kepada Dayak


KUCHING: Barisan kabinet negeri baharu dibentuk diyakini memberi kelebihan kepada masyarakat Dayak khasnya kawasan luar bandar, kata Temenggung Datuk James Jimbun Pungga.

Menurut beliau, barisan kabinet baharu itu menampilkan Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Tan Sri Datuk Amar James Masing sebagai Timbalan Ketua Menteri dijangka membantu mengangkat masyarakat khasnya di kawasan luar bandar ke tahap lebih tinggi.

“Barisan kabinet kali ini terdiri daripada pasukan amat baik, malah terbaik untuk komuniti kita (Dayak).

“Kedua-dua mereka merupakan pemimpin amat berpengalaman dan mampu membawa masyarakat Dayak negeri ini menuju ke arah kemajuan lebih kukuh,” katanya kepada Utusan Borneo, semalam.

Uggah merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban turut memegang jawatan penting iaitu Menteri Pemodenan Pertanian dan Ekonomi Luar Bandar manakala Masing pula ADUN Baleh menyandang jawatan sebagai Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pengangkutan.

Jimbun berkata, malah portfolio dipegang kedua-dua pemimpin berkenaan amat bersesuaian dalam menjaga kebajikan masyarakat Dayak.

Aspek pertanian dan rangkaian jalan raya sememangnya perkara yang amat dititik berat masyarakat khasnya di kawasan luar bandar atau pedalaman, katanya.

Pelantikan Datuk Dr Stephen Rundi Utom sebagai Menteri Kemudahan Awam turut dialu-alukan bagi memastikan masyarakat luar bandar menerima bekalan air bersih serta bekalan elektrik.

Manakala Dato Sri Michael Manyin Jawong dilantik sebagai Menteri Belia, Sukan dan Perpaduan katanya, ia merupakan satu tanggungjawab besar kerana bukan sahaja dari aspek sukan tetapi dari segi memastikan golongan belia terus bersatu padu.

Sementara itu, Penghulu Sidu John berkata, pelantikan dua pemimpin Iban untuk menyandang jawatan timbalan ketua menteri merupakan satu penghormatan bagi kaum Dayak dan dijangka memastikan tiada masyarakat yang tercicir pembangunan.

“Pelantikan dua pemimpin Iban sebagai timbalan ketua menteri amat dialu-alukan kerana diyakini akan membawa lebih banyak kemajuan kepada kaum Dayak khasnya masyarakat Iban,” katanya.

Presiden Persatuan Graduan Dayak Sarawak (SDGA) Dr Dusit Jaul turut melahirkan penghargaan kepada Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem kerana melantik dua pemimpin Dayak untuk menjadi Timbalan Ketua Menteri.

Menurut beliau, Uggah dan Masing merupakan pemimpin Dayak yang cukup berpengalaman.

“Kaum Dayak amat berharap kedua-duanya dapat membawa kemajuan kepada masyarakat tanpa mengira mereka menyokong pembangkang mahupun kerajaan,” katanya.

- Borneo Post Online

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget