Hidupkan Semula Pasukan Pembangunan Berwawasan BN Sibu


SIBU - Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka, Dr Annuar Rapa'ee menyokong penuh usaha untuk menghidupkan semula Pasukan Pembangunan Berwawasan BN Sibu untuk memastikan kelangsungan pembangunan di daerah itu.

Menurutnya, kini sudah tiba masanya platform seumpama itu diwujudkan semula memandangkan tiga daripada lima kerusi DUN di sini iaitu Nangka, Bawang Assan dan Dudong dipegang oleh Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata pasukan yang telah diilhamkan oleh mendiang bekas Anggota Parlimen Sibu dan Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Robert Lau Hoi Chew suatu ketika dahulu telah memainkan peranan penting dalam mengekalkan lima kerusi DUN di bandar ini di bawah BN.

Selepas Lau meninggal dunia pada 9 April 2010, kerusi Parlimen Sibu dan tiga kerusi DUN (Dudong, Pelawan dan Bukit Assek) telah jatuh ke tangan DAP masing-masing pada pilihan raya kecil tahun 2010 dan pilihan raya negeri 2011 manakala kerusi Parlimen Lanang jatuh ke tangan DAP pada pilihan raya umum ke-13.

"Saya menyokong penuh usaha untuk menghidupkan semula pasukan ini kerana ia sangat berjaya," katanya ketika ditemui pemberita pada majlis kesyukuran bersama petugas pilihan raya DUN N55 Nangka.

Beliau berkata demikian semasa diminta mengulas cadangan bekas ketua pasukan itu, Datuk Wong Soon Koh sebelum Pilihan Raya Negeri ke-11 yang baru saja selesai supaya pasukan itu dihidupkan semula demi manfaat rakyat di Sibu.

Ditanya desas-desus beliau merupakan antara muka baharu berpotensi dilantik ke jawatan menteri muda dalam kabinet Sarawak, beliau menyerahkan perkara itu kepada Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem.

"Saya tidak tahu langsung mengenai perkara ini tetapi biarlah Ketua Menteri memutuskannya kerana saya yakin beliau mempunyai perancangan terbaik. Saya tiada komen lanjut," jelasnya.

Terdahulu, ketika berucap Annuar berkata jumlah majoriti besar diterimanya pada pilihan raya negeri 7 Mei lalu jelas menunjukkan rakyat di Nangka tidak mudah terpengaruh dengan dakyah pembangkang semasa kempen pilihan raya.

Pada pilihan raya 7 Mei lepas, Annuar yang mempertahankan kerusi Nangka untuk penggal kedua, berjaya memperoleh majoriti 7,617 undi berbanding hanya 5,302 undi pada pilihan raya 2011.

Katanya, majoriti besar itu adalah isyarat jelas bahawa pengundi di Nangka mahukan wakil rakyat BN dan memerlukan lebih banyak pembangunan untuk tempoh lima tahun akan datang.

- BERNAMA

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget