Kisah kejayaan Malaysia dikaburi isu yang terlalu dipolitikkan


LONDON - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata realiti kisah kejayaan berterusan ekonomi Malaysia sering dikaburi pelbagai isu yang terlalu dipolitikkan.

Beliau berkata ini disebabkan oleh usaha beberapa individu yang cuba memberi gambaran yang berbeza mengenai Malaysia untuk kepentingan mereka sendiri sedangkan asas ekonomi negara berterusan kukuh.

"Politik sentiasa rancak di negara kami, tetapi jika isu-isu terlalu dipolitikkan - sebagaimana yang berlaku - realiti kisah kejayaan berterusan Malaysia sukar dilihat," kata beliau pada Malaysia-United Kingdom Investor Showcase di Marlborough House, Pall Mall, di sini pada Isnin.

Showcase sehari itu yang disasarkan untuk menarik pelabur termasuk pengurus dana untuk melabur di Malaysia, telah dihadiri oleh 188 syarikat Britian dan 34 syarikat Malaysia.

Pengerusi Majlis Perusahaaan dan Pelaburan Komanwel (CWEIC) Lord Marland, Setiausaha Agung Komanwel Patricia Scotland, Menteri Perdagangan dan Pelaburan UK Lord Price, wakil-wakil kanan dan pegawai kerajaan menghadiri pameran anjuran Lembaga Pembangunan pelaburan Malaysia dan CWEIC itu.

Perdana Menteri berkata Malaysia terus berdaya tahan sebagaimana yang dapat dibuktikan dengan kedudukan negara yang semakin kukuh selepas setiap krisis.

Najib yang juga Menteri Kewangan memberi jaminan bahawa Malaysia berada pada landasan untuk berubah menjadi ekonomi yang lebih inklusif dan mampan yang akan lebih baik untuk menangani kejutan luaran.

"Pertumbuhan tahun lepas adalah lima peratus dan didorong terutamanya oleh sektor swasta, yang menyumbang 69.2 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK).

"Ini menunjukkan keyakinan pelabur swasta terhadap negara dan masa depan kami.

"Antara 2009 dan 2015, pelaburan langsung asing kami berkembang lebih 22 peratus setahun manakala pendapatan negara kasar meningkat hampir 50 peratus, 1.8 juta pekerjaan diwujudkan dan inflasi kekal rendah," kata beliau.

Najib berkata pasaran kewangan Malaysia juga menunjukkan prestasi yang baik dengan keseluruhan saiz pasaran modal meningkat kepada RM2.8 trilion pada 2015, kira-kira 2.5 kali KDNK Malaysia manakala pasaran ekuiti berkembang sebanyak 69.6 peratus kepada RM1.7 trilion, serta pasaran bon dan sukuk meningkat 74.4 peratus kepada RM1.1 trilion.

Prospek negara juga kekal menggalakkan dengan Bank Dunia menjangkakan KDNK Malaysia mencatatkan pertumbuhan 4.5 peratus tahun ini dan 2017, kadar yang lebih tinggi daripada unjuran awal mereka sebanyak 4.2 peratus berdasarkan kepada peningkatan dalam keseluruhan prestasi eksport.

Beliau berkata pasukan Tabung Kewangan Antarabangsa telah melawat Malaysia pada Januari dan memuji negara di atas kemajuan yang ketara dalam meningkatkan asas untuk pertumbuhan ekonomi yang besar, dan mengekalkan ekonomi makro dan kestabilan kewangan.

Sementara itu, Malaysia berada kedudukan ke-18 daripada 140 negara dalam Laporan Daya Saing Global Forum Ekonomi Dunia 2015-2016 dan kesembilan di dunia dalam Pembangunan Pasaran Kewangan.

"Kedudukan ini mengesahkan kemajuan yang kerajaan telah lakukan dalam meningkatkan kecekapan dan daya saing di negara kami melalui Program Transformasi Kerajaan dan Program Transformasi Ekonomi," katanya. 

- BERNAMA

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget