Bangun perhubungan jadi keutamaan Masing


KUCHING: Tan Sri Datuk Amar James Masing menjadikan pembangunan perhubungan sebagai keutamaan beliau selepas dilantik bukan sahaja sebagai Timbalan Ketua Menteri tetapi juga Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pengangkutan.

Beliau yang berterima kasih kepada Ketua Menteri atas pelantikan itu menyatakan kementerian di bawah jagaannya itu amat sesuai kepada partinya, yang kebanyakannya mewakili masyarakat luar bandar.

Masing juga Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) merupakan Menteri Kemajuan Tanah dalam kabinet sebelum ini.

“Saya tidak lagi memegang portfolio Menteri Kemajuan Tanah dan dipertanggungjawabkan untuk Kementerian Pembangunan Infrastruktur dan Pengangkutan.

“Saya berasa ia amat sesuai bagi parti yang kebanyakannya mewakili rakyat di luar bandar dan fokus utama kementerian nanti adalah menyediakan perhubungan kepada kawasan luar bandar,” katanya ketika ditemui pemberita di DUN, semalam.

Masing antara menteri yang mengangkat sumpah pada Majlis Istiadat Angkat Sumpah Pelantikan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri di hadapan Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan dihadiri Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem di Kompleks DUN di sini, semalam.

Tambah Masing juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Baleh, penyambungan perhubungan ke kawasan luar bandar akan membolehkan program pembangunan dilaksana.

“Apapun saya berterima kasih kepada Ketua Menteri atas pelantikan sebagai Timbalan Ketua Menteri dan Menteri Pembangunan Perhubungan dan Pengangkutan,” katanya.

Sementara itu, Datuk Dr Stephen Rundi Utom yang dilantik sebagai Menteri Kemudahan Awam pula turut berterima kasih kepada Ketua Menteri atas keyakinan terhadapnya menjaga kementerian berkenaan.

Katanya, ia mungkin bukan perkara baharu memandangkan sebelum ini beliau merupakan Menteri Muda Kemudahan Awam (Elektrik dan Telekomunikasi).

“Keutamaan saya sekarang ini adalah menumpukan isu yang masih belum diselesaikan dalam masa secepat mungkin dan pada masa yang sama memastikan aspirasi dan janji kepada rakyat ditunaikan.

“Antaranya transformasi luar bandar ialah kita mahukan luar bandar bukan lagi untuk kemiskinan tetapi kita akan membangunkannya dengan meningkatkan kemudahan seperti air, elektrik dan jalan selain telekomunikasi.

“Perkara ini mungkin dapat dipercepatkan dengan memohon peruntukan daripada kerajaan persekutuan,” katanya.

Mengenai pelantikan menteri muda akan datang, Dr Rundi berkata, beliau percaya setiap komponen parti akan diberi peruntukan dalam perkara berkenaan.

Sementara itu, Dato Sri Wong Soon Koh yang kekal sebagai Menteri Kewangan Kedua kini hanya perlu menumpukan kepada pengurusan kewangan Sarawak sepenuhnya.

Ia ekoran daripada beliau tidak lagi memegang portfolio Menteri Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Masyarakat.

Wong ketika ditemui berkata, beliau akan menumpukan kepada pengurusan kewangan di mana Sarawak memerlukan penstrukturan semula kewangannya.

“Kita perlu tampil dengan dasar pengurusan kewangan yang lebih baik dan mungkin Ketua Menteri mahu saya menumpukan Kementerian Kewangan untuk manfaat Sarawak.

“Kita akan membincangkannya (dasar) kemudian,” katanya.


- Borneo Post Online

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget