Parlimen tolak lagi soalan tentang dakwaan Panama Papers


KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Pembangkang kesal keputusan Dewan Rakyat yang menolak soalan berkaitan dakwaan Panama Papers melibatkan 1,784 rakyat Malaysia.

Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago berkata, isu itu perlu diperjelaskan di Dewan Rakyat bagi mengelakkan salah faham.

"Soalan saya telah ditolak. Saya minta Menteri Kewangan (Datuk Seri Najib Razak) menyatakan jika individu dan warga korporat yang dinamakan dalam Panama Papers akan disiasat dan apa tindakan sewajarnya diambil? Apakah dasar kerajaan utk membanteras elak bayar cukai?

"Kita nak tahu sama ada elak cukai dibenarkan? Jika Menteri Kewangan jawab, kita dapat penjelasan," katanya pada sidang media di lobi Dewan Rakyat, hari ini.

Namun katanya, dengan soalan tersebut ditolak, beliau tiada ruang lain untuk mendapat penjelasan daripada kerajaan.

"Di negara lain perdana menteri, menteri letak jawatan tak sampai 24 jam selepas pendedahan tapi di Malaysia, tak boleh bahas di Parlimen pun. Soalan pun ditolak.

"Jadi, sekarang kita tidak ada pilihan, mungkin terpaksa pergi ke mahkamah untuk pastikan sama ada elak cukai dibenarkan di Malaysia atau tidak," katanya.

Sebelum ini Panama Papers dilaporkan mendedahkan urus niaga sulit melibatkan lebih 140 tokoh politik termasuk 12 pemimpin dunia, selebriti, bintang sukan dan ahli perniagaan.

Menurut Charles, elak membayar cukai tidak adil kepada individu dan syarikat lain yang membayar cukai.

"Saya bayar cukai pendapatan, kamu pun begitu tapi sesetengah orang boleh pindahkan wang ke negara lain dan elak bayar cukai. Adakah ini adil?

"Sepatutnya Menteri Kewangan ada peluang untuk sentuh isu ini tapi beliau tidak buat begitu sebab soalan itu tidak dibenarkan Parlimen," katanya.

Sebelumnya, Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin turut membangkitkan perkara sama.

"Saya telah mendapat surat cinta daripada Setiausaha Dewan Rakyat, Datuk Roosme Hamzah soalan saya telah ditolak.

"Saya bangkitkan isu ini kerana ia melibatkan integriti sistem kewangan Malaysia di mana 1784 rakyat dan syarikat Malaysia terlibat dalam pendedahan Panama Papers," katanya.

Soalan yang dikemukan Tze Tzin meminta Menteri Kewangan menyatakan berapa kertas siasatan telah dibuka untuk menyiasat pendedahan Panama Papers yang melibatkan 1784 rakyat Malaysia atau syarikat Malaysia yang mungkin terlibat rasuah, penggubahan wang harap, pelarian cukai dan terorisme serta agensi yang terlibat dalam siasatan.

Namun melalui surat pemberitahuan penolakan soalan itu memberitahu sesuatu pertanyaan itu tidak boleh dikeluarkan berkenaan dengan betul atau tidaknya penerangan dalam akhbar atau penerangan yang dikeluarkan oleh seseorang bagi dirinya sendiri atau penerangan badan-badan kewangan.

Semalam, soalan Ahli Parlimen Alor Setar, Gooi Hsiao-Leong sama ada terdapat sebarang siasatan yang dimulakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Bank Negara dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berkenaan pihak berkepentingan daripada Malaysia seperti yang didedahkan dalam Panama Papers juga telah ditolak Parlimen atas alasan sama.

- Sinar Online

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget