Malaysia Cadang Bina Keretapi Bawah Laut


BATU GAJAH: Kerajaan bercadang membina sebuah landasan kereta api bawah laut bagi menghubungkan Malaysia dan Indonesia.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab Aziz Kaprawi berkata, kereta api bawah laut itu sama seperti Channel Tunnel yang menghubungkan United Kingdom dengan Perancis.

Bagaimanapun jelasnya, ia masih dalam peringkat perbincangan.

Sementara itu, Ab Aziz turut menyuarakan hasrat kerajaan mencipta dan membangunkan kereta api sendiri dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Menurutnya, kerajaan tidak mahu bergantung kepada sumber luar untuk membangunkan industri kereta api negara selama-lamanya.


Katanya, matlamat Malaysia itu tidak mustahil untuk dicapai kerana negara telah berjaya membangunkan sistem rel dengan pesatnya seperti Projek Transit Aliran­ Massa (MRT) dan Sistem Transit Aliran Ringan (LRT).

“Kalau dalam bidang automobil kita boleh cipta kereta nasional, kenapa pula kita tidak boleh membangunkan kereta api nasional?” soalnya selepas menyempurnakan Majlis Konvokesyen Akademi Keretapi Malaysia hari ini.

Pada majlis itu seramai 133 kakitangan Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) diraikan selepas menamatkan latihan dalam bidang kereta api.

Menurut Ab Aziz, beberapa siri perbincangan telah diadakan bersama agensi berkaitan seperti KTMB dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) untuk merealisasikan hasrat negara membangunkan kereta api sendiri.

“Langkah ini merupakan titik tolak kepada usaha merakyatkan dan membangunkan industri kereta api di negara ini. Kita mahu membangunkan keupayaan kita sendiri dan kita mahu rakyat negara Malaysia memanfaatkan industri rel ini,” katanya.

Mengenai insiden dua tren KTMB bergesel di Kilometer 322 Kuala Kubu Baharu pada 7 Mei lepas, Ab Aziz berkata, siasatan masih belum selesai.

– BERNAMA
Labels:

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget