PRS masih buka pintu kepada calon langsung BN


KUCHING: Parti Rakyat Sarawak (PRS) masih membuka pintu kepada calon langsung Barisan Nasional (BN) yang menang dalam Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN11) untuk menyertai parti itu.

Setiausaha Agong PRS Datuk Wilfred Nissom berkata pilihan adalah di tangan mereka dan PRS sedia mempertimbangkan jika ada antara mereka yang memohon untuk menyertai PRS.

“Sama seperti yang lain, kami dalam PRS juga membuka pintu kepada calon-calon langsung BN yang menang dalam PRN11 untuk menyertai PRS.

“Tetapi setakat ini, kami belum menerima sebarang permohonan daripada mereka untuk menyertai PRS tetapi kami akan mempertimbangkannya jika ada antara mereka yang berminat,” katanya.

PRN11 7 Mei lepas menyaksikan seramai 13 calon langsung BN ditampilkan sebagai penyelesaian kepada perebutan kerusi antara calon dan parti yang mahu bertanding.

Daripada 13 kerusi yang ditandingi oleh calon langsung BN, sebanyak 11 kerusi berjaya dimenangi termasuk kerusi majoriti Cina Dudong menerusi Datuk Tiong Thai King.

Turut menang menerusi calon langsung BN ialah Ranum Mina (Opar), Datuk Dr Jerip Susil (Mambong), Dr Johnical Rayong Ngipa (Engkilili), Dato Sri Wong Soon Koh (Bawang Assan), Tan Sri William Mawam Ikom (Pakan), Paulus Palu Gumbang (Bukit Danau), Rosey Yunus (Bekenu), Miro Simuh (Serembu), John Ilus (Bukit Semuja) dan Datuk Gerawat Gala (Mulu).

Ditanya mengenai idea penggabungan SPDP dan UPP, Nissom berkata beliau tidak mahu campur tangan dalam hal itu dan berharap perbincangan itu akan mencapai matlamatnya.

“Saya berada pada kedudukan yang kurang sesuai untuk mengulas mengenai idea penggabungan ini tetapi saya mengharapkan yang terbaik untuk mereka,” katanya ringkas.

Dalam pada itu, PRS merekodkan keputusan cemerlang dalam PRN11 apabila menyapu bersih semua 11 kerusi yang ditandingi termasuk dua kerusi baharu Murum dan Samalaju dan merampas kembali kerusi Pelagus.

Lapan lagi kerusi berjaya dipertahankan oleh PRS ialah Baleh, Bukit Begunan, Batang Ai, Balai Ringin, Ngemah, Tamin, Kakus dan Belaga.-Borneo Post
Labels:

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget