Dr Annuar janji teruskan agenda pembangunan DUN Nangka

Dr Annuar janji untuk bekerja lebih keras meneruskan agenda pembangunan di kawasan Nangka

SIBU: Kemenangan besar BN di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nangka menjadi peringatan buat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka Dr Annuar Rapa’ee untuk menunaikan janji kepada rakyat.

Berucap pada Majlis Kesyukuran Bersama Petugas Pilihan Raya DUN Nangka malam kelmarin, Dr Annuar berjanji akan bekerja lebih keras meneruskan agenda pembangunan di kawasan Nangka.

“Kemenangan kita dengan majoriti 7,617 undi di DUN Nangka sangat besar maknanya, bermaksud apa yang kita lakukan dalam lima tahun lalu memberi manfaat kepada warga Sibu.

“Oleh itu, untuk lima tahun akan datang jangan risau kerana saya akan bekerja keras untuk anda semua.

“Janji-janji yang saya sebutkan seperti lot-lot tanah, kebajikan peniaga dan golongan belia menjadi keutamaan saya lima tahun ini,” katanya pada majlis yang dihadiri kira-kira 2,000 hadirin dari kawasan DUN Nangka.

Hadir sama Temenggung Datuk Wan Hamid Edruce, isteri Dr Annuar, Dr Haniza Zainal Abidin, ketua-ketua kaum dan masyarakat.

Dr Annuar turut meminta kerjasama rapat penduduk di kawasan Nangka bagi memastikan pembangunan dapat diteruskan.

“Perkara remeh haruslah kita ketepikan dan bersama-sama kita memajukan kawasan Nangka,” katanya.

Di samping itu, Dr Annuar turut mengucapkan penghargaan kepada jentera parti kerana bekerja keras sepanjang tempoh berkempen pada PRN11 lalu.

“Jentera parti sangat bekerjasama rapat, bersatu padu serta mempunyai tekad kuat semata-mata untuk mencapai kemenangan cemerlang di kawasan Nangka.

“Saya sangat terhutang budi kepada (anda) semua dalam menghasilkan kemenangan besar,” katanya.-Utusan Borneo

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget