Mahathir mahu jadi calon pilihan raya kecil

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron mendakwa bahawa Tun Dr Mahathir Mohamad mahu bertanding pada pilihan raya akan datang sama ada di Sungai Besar ataupun Kuala Kangsar.

Ahli Majlis Tertinggi Umno itu berkata ini berdasarkan kenyataan bekas presiden Umno itu yang bersungguh-sungguh mahu melihat calon BN dikalahkan.

"Nampak macam beliau kata seolah-olah beliau satu-satunya calon yang layak bertanding di kawasan Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

“Itu sahaja saya nampak. Itu yang saya baca. Nampak beliau minat sangat nak jadi calon.

“Sama-sama kita tunggu dan lihat. Saya baca apabila beliau berkata, kita kena kerja kuat untuk mengalahkan BN maknanya dia kata dia yang nak jadi calon,” katanya yang dipetik akhbar Sinar Harian, hari ini.

Pada perhimpunan "Selamatkan Malaysia" pada 15 Mei lalu, Mahathir menggesa pembangkang untuk mengelakkan pertembungan pelbagai penjuru pada pilihan raya kecil dalam usaha untuk mengalahkan BN.

Kerusi itu secara tradisinya ditandingi oleh PAS dan Umno.

Walau bagaimanapun, dengan PAS bukan lagi anggota Pakatan Harapan, pakatan pembangkang sedang mempertimbangkan untuk meletakkan calon mereka sendiri.- Malaysiakini

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget