Abang Johari dedah rahsia kejayaan BN Sarawak


KUCHING:Barisan Nasional (BN) menggunakan pendekatan saintifik, penjelasan taktikal dan lebih terperinci kepada rakyat bagi membolehkannya menang dengan agak bergaya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg menambah, pihaknya berjaya menawan 72 daripada 82 kerusi dengan lima daripada kerusi tersebut merupakan milik Parti Tindakan Demokratik (DAP) sebelum ini.

“Ia merupakan pencapaian di luar dugaan kerana pada mulanya menjangka kita boleh menang antara 68 dan 70 tetapi kita menang 72 daripada 82 kerusi. Syukur, sasaran itu telah dikabulkan.

“Sejak dua tahun lepas, Ketua Menteri tahu bahawa kita akan menghadapi pilihan raya dan beliau menyelesaikan pelbagai masalah yang agak ketara dengan memperkenalkan 53 dasar mesra rakyat.

“Tetapi usaha ini dibantu oleh pelbagai pihak termasuk petugas media massa, agensi awam, orang perseorangan dan banyak lagi bagi mengumpul data yang relevan walaupun mungkin kurang tepat yang kemudian diperbetulkan oleh pihak kita di peringkat jentera (bilik gerakan),” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Penghargaan Petugas Media PRN11 di sini, kelmarin.

Beliau mengakui bahawa BN mengalami masalah dalaman iaitu sukar bagi Ketua Menteri memilih calon untuk diletakkan bagi kerusi-kerusi tertentu disebabkan parti-parti yang mesra BN dan BN itu sendiri.

Bagaimanapun, pihaknya menganalisis secara terperinci kawasan Repok, Dudong, Meradong, Batu Kawah, Batu Kitang, Marudi dan Tasik Biru dan kawasan kelabu di negeri ini.

Justeru BN Sarawak akhirnya menawan semula Batu Kawah, Repok, Meradong, Dudong, Piasau iaitu lima kawasan DAP sebelum ini, tegasnya.

Pihaknya turut mendapati bahawa kawasan pengundi Bumiputera tidak menimbulkan sebarang kesulitan bagi pihaknya memberi penjelasan sewaktu berkempen berbanding kawasan bandar yang rata-rata pengundinya daripada kalangan masyarakat Cina.

“Ia sebenarnya menjadi cabaran kepada kita, walaupun demikian kita cuba menjelaskannya secara lebih terperinci dan boleh diterima oleh masyarakat Cina.

“Satu masalah yang telah kita atasi iaitu berkaitan pendidikan di mana Ketua Menteri telah mengumumkan bahawa kerajaan negeri mengiktiraf UEC.

“Bagi masyarakat Cina, pendidikan adalah penting kepada mereka, menerusi pengalaman saya, di kawasan Satok sahaja terdapat lebih 20 peratus pengundi Cina dan saya tidak putus-putus membantu mereka melalui sekolah dan pengurusan sekolah Chung Hua,” ujarnya.

Dengan pendekatan sedemikian termasuk pemansuhan cukai tanah dan rumah turut menyebabkan masyarakat Cina menyedari Adenan ikhlas untuk memajukan Sarawak bersama masyarakat lain.

Data yang media beri adalah penting untuk dianalisis dan pembetulan dijalankan oleh jentera kerajaan dan mencari jalan untuk menjelaskan masalah di kawasan akar umbi.

Kadangkala katanya, gambar juga boleh menimbulkan kekecohan dan masalah termasuk perkara-perkara kecil yang perlu diperbetulkan di kalangan calon yang bertanding.

Bagaimanapun katanya pasukan Adenan kini mahu melunaskan semua manifesto kempen yang dijanjikan kepada rakyat pada PRN11 untuk tempoh lima tahun lagi.

Beliau turut ditemani isteri dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.

- Borneo Post Online

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget