Penyokong pembangkang tidak dibantu sepenuhnya: PAS Sarawak


MIRI – ‘Tim Adenan’ telah berjaya dengan cemerlang pada Pilihan Raya Umum Sarawak yang lalu dan Tan Sri Datuk Patinggi Haji Adenan Satem berjanji akan menjadi Ketua Menteri untuk semua rakyat Sarawak tanpa mengira bangsa dan agama.

Beliau juga berjanji akan memberi tumpuan kemudahan asas kepada penduduk luar bandar seperti membina jalanraya, elektrik dan bekalan air bersih. Antara kemudahan asas yang masih jadi isu penduduk luar bandar adalah jalan raya.

Walaupun ada peruntukan untuk membina jalan raya di kampung-kampung telah dilaksanakan tetapi masih lagi terdapat jalan kampung yang separuh siap atau tidak diberikan kepada penduduk kampung yang berlainan ideologi politik.

Sebagai sebuah parti yang telah diberi amanah dan mandat oleh rakyat sepatutnya masalah ini tidak berlaku kerana semua rakyat berhak diberi kemudahan asas walaupun mereka tidak menyokong parti tertentu semasa pilihan raya yang lalu. Sebagai sebuah negara yang mengamalkan demokrasi berperlembagaan dimana rakyat berhak memilih parti atau sesiapa saja sebagai sebuah kerajaan seharusnya tidak berlaku penindasan keatas rakyat yang berlainan ideologi politik.

Encik Ayup Kabul salah seorang penduduk kampung di Satap di DUN Lambir mengadu kepada pihak PAS yang jalan ke rumahnya tidak dibina sedangkan jalan ke rumah jirannya siap diturap hingga ke halaman rumah mereka.

Apabila beliau bertanya kepada kontraktor yang membina jalan itu, katanya mereka menerima arahan dari ketua kampung agar jalan ke rumahnya tidak boleh dibina sampai halaman rumah beliau sebab beliau menyokong pihak pembangkang.

Beliau juga berjumpa dengan ketua kampung untuk mendapatkan penjelasan tetapi jawaban yang diterima adalah atas arahan pihak tertentu. Beliau amat kecewa dengan sikap yang tidak demokratik yang diamalkan oleh pihak pemerintah yang diketuai oleh BN (Barisan Nasional) kerana tidak dapat berlaku adil kepada rakyat sendiri walaupun berlainan ideologi politik.

Sekarang kita ingin bertanya kepada Ketua Menteri Sarawak yang baru dilantik mengapa perkara ini harus terjadi kepada rakyat Sarawak? Dia telah diberi peluang sepenggal lagi kuasa untuk memerintah Sarawak tetapi mengapa orang bawahannya tidak melaksanakan tugas dengan adil dan amanah kepada rakyat? Belum sampai sepenggal sudah menunjukkan ketidakadilan dalam pemerintahan.

Mengapa rakyat Sarawak sendiri dianiaya disebabkan beliau menyokong pembangkang? Adakah menjadi satu kesalahan untuk rakyat untuk memilih parti pilihan mereka selain daripada BN? Jika ia menjadi satu kesalahan, mengapa perlu diadakan pilihan raya? Dimanakah hak anak jati Sarawak untuk memilih kerajaan baru dalam pilihan raya umum lalu kalau rakyat sendiri pun tidak diberi kemudahan asas sedangkan apabila kerajaan mengutip cukai tidak pula ada pengecualian terhadap penyokong atau pembangkang?

Kita mengesa Tan Sri Datuk Adenan Satem sebagai Ketua Menteri Sarawak boleh mengambil tindakan dan menegur sikap wakil rakyat yang baru dipilih dan ketua kaum yang tidak berlaku adil terhadap rakyat yang tinggal dalam kawasan mereka sendiri. Kerajaan baru Adenan Satem perlu berlaku adil kepada semua rakyat Sarawak walaupun mereka tidak memilih parti BN tetapi hak mereka sebagai rakyat perlu dihormati.

Kita juga mengesa pihak kementerian yang berkaitan menyiasat perkara ini mengapa berlaku ketidakadilan dalam memberi peruntukan dan kemudahan asas kepada rakyat. Kerjasama dengan pihak yang berkaitan amat dihargai.

Jofri Jaraiee
PAS Miri, Sarawak

-PAS.ORG.MY

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget