Wan Junaidi akui kerajaan gagal tangani krisis air: Wan Azizah


KUALA LUMPUR 18 MEI: Pengakuan Menteri berhubung kegagalan kerajaan mengurus dan memantau sumber air negara mengukuhkan lagi bukti kerajaan gagal bertindak awal dalam menangani krisis air negara ketika ini.


Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dalam kenyataan semalam mendedahkan, negara gagal menubuhkan satu badan pengurusan sumber air kebangsaan sejak 30 tahun lalu dengan satu kertas cadangan baru sahaja dikemukakan kepada kabinet.

Beliau juga mengaku bahawa tindakan manusia seperti pembalakan di kawasan tadahan air yang meluas bukan sahaja faktor perubahan cuaca menjadi punca kekurangan air.

Terdahulu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail meminta Menteri menyatakan langkah-langkah diambil dan penyelarasannya dengan negeri-negeri bagi menangani krisis bekalan air secara menyeluruh berikutan fenomena cuaca berubah.

“Kegagalan kerajaan mengurus dan membuat persediaan yang sewajarnya amat merunsingkan.

“Fenomena El-Nino hanya menjadi penyebab sampingan sebagai alasan kerajaan bagi menutup kegagalan mengurus sumber air dengan mengambil kira semua faktor penentu kekurangan sumber air yang dijangkakan,” katanya dalam kenyataan.

Ahli Parlimen Permatang Pauh itu menyarankan tindakan segera diambil untuk meningkatkan pemantauan serta penguatkuasaan larangan aktiviti pembalakan sekitar kawasan tadahan air.

Katanya lagi, catuan air seperti yang disarankan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) kepada kerajaan negeri Perak di kawasan empangan Kolam Bukit Merah perlu diperluaskan ke seluruh negara.

Paras air di 41 empangan serta penurunan paras air dari sungai Kelantan, Kedah termasuk Sungai Pahang adalah petanda krisis kemarau besar akan melanda negara dalam masa terdekat.

“Untuk jangka panjang kerajaan mesti menubuhkan Badan Pengurusan Sumber Air Nasional yang diberi kuasa memelihara kawasan tadahan air dari kesan perladangan korporat besar-besaran dan pembalakan. Usaha memperluaskan kapasiti empangan-empangan sedia ada juga mesti dilaksanakan,” ujar Wan Azizah.-Keadilan Daily

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget