Klasifikasi laporan audit 1MDB: Hanya kerajaan boleh putuskan


KUALA LUMPUR - Hanya kerajaan yang boleh memutuskan sama ada Laporan Audit 1Malaysia Development Bhd. (1MDB) yang diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 (OSA), perlu diubah status kerahsiaannya atau tidak.

Ketika menegaskannya, Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Hasan Arifin berkata, laporan audit berkenaan adalah berbeza dengan Laporan Audit Negara yang dikeluarkan setiap tahun serta perlu dibentangkan di Parlimen.

Jelasnya, Laporan Audit 1MDB sebaliknya hanya perlu dibentangkan kepada PAC selepas proses perumusan berkaitan itu selesai.

"Kabinet minta Jabatan Audit Negara untuk membuat laporan (1MDB) dan kemudian dibentangkan kepada PAC. Soal sama ada bila ia nak diklasifikasikan, terpulanglah kepada kerajaan untuk menentukannya," katanya pada sidang media di Parlimen, semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas gesaan segelintir pihak yang mahukan status kerahsiaan Laporan Audit 1MDB di bawah OSA itu dibatalkan.

Sebelum ini, Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang berkata, laporan audit berkenaan masih diklasifikasikan mengikut OSA sekalipun selepas pembentangan laporan siasatan PAC mengenai syarikat pelaburan strategik berkenaan.

Mengulas lanjut, Hasan yang memetik laporan terdahulu menjelaskan, apa juga maklumat yang diterima pada saat-saat akhir untuk Laporan Audit 1MDB yang bersifat sulit, rahsia serta berstatus risikan dan bukan untuk laporan awam, maka ia tidak perlu dimasukkan ke dalam laporan PAC. 

- BERNAMA

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget