Mawan 'melompat' untuk kali terakhir?


KUCHING: ADUN Pakan Tan Sri William Mawan yang dianggap membuat ‘lompatan terakhir’ dalam karier politiknya dilihat mengetuai lima wakil rakyat yang sealiran dengannya telah menghantar borang permohonan untuk menyertai PBB.

Lima wakil rakyat bersama Mawan ialah ADUN Mulu Datuk Gerawat Gala, ADUN Bekenu Rosey Yunus, ADUN Batu Danau Paulus Palu Gumbang, ADUN Serembu Miro Simuh dan ADUN Bukit Semuja John Ilus.

Manakala yang terbaharu, tiga lagi wakil rakyat tidak berparti mengambil langkah yang sama memohon menyertai parti PBB, iaitu ADUN Mambong Datuk Dr Jerip Susil, ADUN Opar Ranum Mina dan ADUN Engkelili Dr Johnical Rayong Ngipa.

Ini menjadikan seramai 9 wakil rakyat telah membuat keputusan untuk menyertai parti yang menjadi tulang belakang Kerajaan negeri Sarawak.

Keputusan 9 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang tidak berparti untuk menyertai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dianggap sebagai langkah paling selamat demi memperkukuh landasan politik mereka.

Bagaimana pun, Setiausaha Eksekutif PBB Awang Bujang Awang Antek dipetik sebagai berkata, status permohonan tersebut hanya akan diketahui pada mesyuarat Majlis Tertinggi parti PBB yang dijadualkan pada 5 Jun.

Seramai 9 wakil rakyat itu berkongsi alasan yang sama, mereka menganggap PBB adalah landasan yang kukuh untuk berkhidmat kepada rakyat dengan lebih efektif.

Jika permohonan mereka diterima, PBB akan mengukuh cengkamannya dengan menguasai 49 kerusi dalam Dewan Undangan Negeri Sarawak.

Namun menurut pemerhati, samada permohonan mereka diterima atau ditolak, dua-dua keputusan itu akan mampu mencetus satu masalah baru. Kecil atau besar masalah yang bakal timbul tergantung kepada pemimpin mana yang diterima masuk dan mana yang ditolak.

Bagi PBB, parti itu sentiasa membuka pintu kepada siapa sahaja yang ingin menyertai perjuangan parti sebagai landasan untuk berkhidmat kepada rakyat.- Sarawaklive

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget