Ada apa dengan Mawan?


Tan Sri William Mawan Ikom dapat dianggap sebagai seorang pemimpin politik yang ‘flamboyant’, iaitu yakin diri, dan sering mudah menarik perhatian orang ramai, bukan sahaja kerana kata-kata yang keluar dari mulutnya tetapi juga gaya beliau berjalan serta tindak-tanduk politiknya.

Mantan presiden Teras yang juga mantan presiden Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP), itu dianggap seorang pemimpin politik yang sering melompat parti, dengan terbaharu keluar daripada Teras untuk menyertai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

Rakyat mulai menyoal, apa yang sebenarnya menjadi agenda perjuangan Mawan? Rakyat atau survival politik sendiri?

Beberapa tahun lalu, mungkin tidak banyak yang terfikir akhirnya pemimpin Iban yang yakin diri itu akhirnya akan menyertai PBB.

Dalam kabinet Sarawak yang dibentuk Jumaat, nama Mawan tercicir, sekali gus mencetuskan spekulasi, mungkinkah Mawan yang juga Ahli Parlimen Saratok bakal dilantik sebagai menteri persekutuan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semalam berkata kabinet persekutuan akan disusun semula ekoran peletakan jawatan Datuk Seri Douglas Uggah Embas sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, dan kematian dalam tragedi helikopter timbalan beliau Datuk Noriah Kasnon.

Douglas dilantik sebagai timbalan ketua menteri 1 Sarawak ekoran kemenangannya di Bukit Saban.

Pada 7 Mei lalu, karier politik Mawan hampir terkubur apabila hanya menang 426 undi di Pakan, yang sepatutnya menjadi kubu kuat beliau.

Itu antara majoriti terkecil selepas Ngemah dan Tulang Usan.

Majoriti kecil itu sepatutnya memberi kesedaran kepada beliau untuk mencermin dirinya bagi mengetahui kesilapan dan kelemahannya sebagai pemimpin politik yang terlalu percaya diri.

Mawan pernah mewakili Pakan atas tiket Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP-BN) sejak 1991, dan mulai 2002 sebagai calon SPDP-BN.

Krisis kepemimpinan dalam SNAP pada 2002 menyebabkan Mawan keluar dari parti bersejarah yang ditubuhkan pada awal 1960-an itu, dan bersama-sama lapan orang lagi ahli Majlis Tertinggi parti, mereka menubuhkan SPDP.

Presiden pengasas SPDP itu kemudiannya, pada Mei 2014, meninggalkan parti itu untuk menubuhkan parti baharu, Teras selepas menyedari kedudukannya dalam parti berkenaan terancam.

Mawan, mantan presiden Teras, yang bertanding atas tiket calon langsung Barisan Nasional (BN) ditentang sengit oleh Rinda Juliza Alexander dari DAP, dan Dr Jawie Jingot yang keluar dari SPDP seminggu lalu.

Mawan Adun enam penggal menyedari hakikat, undi majoriti yang diraihnya semakin merosot dari satu pilihan raya ke satu pilihan raya, sekali gus mencerminkan rasa tidak puas hati dan protes pengundi yang terdiri daripada pekebun dan petani terhadap prestasinya.

Pada 2001, majoriti beliau ialah 2,302 undi, dan jumlah itu terus merosot tajam menjadi 1,763 pada 2006. Bagai tidak percaya, Mawan menyaksikan penurunan berterusan pada 2011 apabila majoritinya terus berkurangan kepada 1,197 undi.

Lima tahun lalu, Mawan yang memperoleh 58 peratus undi daripada 6,785 undi berbanding calon SNAP Jamal Abdullah @ Tedong Anak Gunda yang mendapat 40.4 peratus undi.

Sebelum pilihan raya lalu, Sarawakvoice berkata, adalah sesuatu keajaiban jika beliau dapat memperoleh lebih 500 undi majoriti. Yang menyelamatkannya ialah pertembungan antara calon SPDP dengan DAP. Skrip dan adegan yang dilakarkan tentu berbeza jika berlaku pertembungan satu lawan satu.

Kekecewaan, kemarahan dan kekeliruan berlaku dalam kalangan pengundi. Haruskah Mawan diberi peluang atau peluang sudah lebih daripada mencukupi untuk beliau?

Mawan dilihat seorang pemimpin yang bersedia melakukan apa-apa sahaja demi survival politiknya.

Kata-katanya menjadi viral apabila beliau bersedia menerima apa-apa arahan Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem dari segi pencalonan.

“I am willing to jump from the fifth floor, if Adenan wants me to do so, ” kata beliau kepada media. – Sarawakvoice.com

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget