'Perisik' SV sahkan punca kekalahan BN di Ba Kelalan


LAWAS: Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan kata, salah pilih calon merupakan faktor utama kekalahan Barisan Nasional (BN) di kerusi Ba Kelalan pada pilihan raya negeri 7 Mei lalu.

Sebaliknya, bagi presiden Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP), itu bukan faktornya.

Jadi, sekarang adalah masa untuk menuding jari. Semua mahu main selamat.

Kalau bukan faktor calon, apa sebenarnya faktor yang menyebabkan calon pilihan SPDP, Willie Liau, tewas?

Hakikatnya, sejak awal, kawasan majoriti kaum Lun Bawang itu bukan mudah untuk dimenangi.

Selain, lapan calon berpotensi berminat untuk bertanding atas tiket BN, kerusi berkenaan dianggap hitam bukan sahaja kerana ditawan Parti Keadilan Rakyat (PKR), tetapi juga disebabkan populariti penyandang Baru Bian yang dianggap sebagai ikon oleh masyarakat tempatan.

Bagi Datuk Seri Tiong King Sing, faktor calon sebenarnya bukan faktor utama walaupun mengikut risikan Sarawakvoice di akar umbi, itulah sebenarnya menjadi faktor utama.

Selain calon kitar semula yang kalah, banyak isu berkaitan calon turut diperkatakan oleh pengundi.

Maksudnya, faktor calon memang penting walaupun tidak dinafikan, dalam mana-mana pilihan raya, banyak angkubah atau faktor lain turut menjadi penyebab.

Tiong seperti dipetik media berkata, kempen agresif dan bercorak mengancam dilancarkan oleh pemimpin tertentu BN di kawasan terbabit mencetuskan kemarahan pengundi.

Menurut beliau, antara faktornya ialah nada mengancam dalam ucapan pemimpin terbabit yang berpendapat bahawa pendekatan sedemikian dapat memberi tekanan kepada pengundi untuk mengundi calon BN.

“Kita tak boleh gunakan taktik mengancam untuk dapatkan undi daripada pengundi, malah pendekatan demikian membawa kesan negatif,” kata beliau seperti dipetik Borneo Post, hari ini.

Presiden SPDP itu berkata, parti yang lebih besar tidak sepatutnya mencuba untuk memaksa kemahuan mereka terhadap parti yang lebih kecil seperti SPDP semasa pilihan raya.

Parti yang lebih besar, malah terbesar dalam komponen BN yang kemungkinan besar dimaksudkan beliau tentunya Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB). Pengerusi Bn Sarawak ialah presiden PBB yang juga Ketua Menteri Sarawak.

Pada pilihan raya lalu, PBB bertanding di 40 kerusi dan memenangi kesemuanya. Parti tulang belakang BN itu juga mempunyai tiga calon langsung.

Kerusi majoriti Orang Ulu itu daripada kaum Lun Bawang dan Kelabit itu dimenangi oleh pengerusi PKR Negeri, Baru Bian dengan mendapat 2,505 undi, berbanding Willie Liau, 2,032 undi. Dalam pilihan raya negeri ke-11, Baru Bian mengukuhkan kedudukannya, dengan 538 undi majoriti, berbanding 473 lima tahun lalu.

Kawasan itu mempunyai sekitar 7,000 pengundi.

Antara isu dibangkitkan pengundi ialah keadaan jalan raya, bekalan air bersih, pembinaan sekolah menengah, hospital dan bekalan elektrik, ketiadaan sekolah menengah di Long Semadoh, klinik, masalah penyeludupan di sempadan, kemudahan telekomunikasi, wifi, dan isu tanah NCR.

Banyak janji kerajaan tidak dikotakan. Malah, kawasan itu, seperti diakui Tiong, juga kurang diberikan perhatian dan bantuan oleh BN.

Baru Bian sedar bahawa berbeza daripada pilihan raya 2011, dengan sentimen memihak kepadanya, kali ini, beliau menghadapi kesukaran mempertahankan kerusi Ba Kelalan.

Baru dikatakan mendapat sokongan daripada pihak gereja dan NGO tertentu dalam pilihan raya lalu.

Antara faktor penting yang menentukan kemenangan ialah personaliti dan kedudukan bakal calon dalam masyarakat Orang Ulu di pedalaman itu. Pengundi mahu calon daripada kalangan Lun Do’ atau aristokrat dalam masyarakat Lun Bawang.

Dua lagi kelas dalam masyarakat Lun Bawang ialah Lun Dat (kelas menengah) dan Demulun atau hamba.

Bagi masyarakat Orang Ulu, mereka mahu calon daripada Lun Do’ yang bersih, tanpa terbabit dalam aktiviti minum minuman keras atau berjudi.

Dengan pengundi sebanyak sekitar 7,000 orang, terdiri 70 peratus Lun Bawang, 10 peratus Kedayan/Melayu dan selebihnya Cina dan Iban, kawasan ini bakal menyaksikan pertarungan menarik dalam pilihan raya nanti.

Masyarakat Lun Bawang kebanyakannya ialah petani, dengan tanaman utama ialah kelapa sawit, padi, dan epal.

Sesungguhnya, nasi sudah menjadi bubur. Ini bukan masa untuk menuding jari, tetapi masa bagi BN terus bekerja dan mengenal pasti calon yang sesuai untuk ditampilkan lima tahun dari sekarang. – Sarawakvoice.com

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget