Laporan Audit 2015: Kasut getah JPAM tidak ikut spesifikasi

KUALA LUMPUR: Perolehan bekalan peralatan yang tidak memenuhi spesifikasi menyebabkan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) mengalami kerugian sebanyak RM840,000, Laporan Ketua Audit Negara 2015, Siri 1 mendedahkan.

Menurut laporan yang dikeluarkan hari ini, tiga jenis peralatan yang dibekalkan kepada JPAM itu ialah 1,010 pasang kasut getah dengan nilai RM68,680 melalui sebut harga, lapan jet ski (RM400,000) dan 64 ‘papan luncur’ bernilai RM371,200.

Berdasarkan spesifikasi, kasut yang dibekalkan mestilah berwarna oren dan perkataan “HAK KERAJAAN MALAYSIA” bersaiz kecil dicetak di sebelah tepi bahagian atas dalam kasut berkenaan.

Bagaimanapun, kasut yang dibekalkan adalah berwarna kuning dan bukannya berwarna oren serta tidak dicetak dengan perkataan “HAK KERAJAAN MALAYSIA”.
“Kasut getah berwarna oren memerlukan tempahan khas selaras dengan warna korporat JPAM manakala kasut getah berwarna kuning merupakan barangan sedia ada di pasaran,” kata laporan itu.

Ia berkata JPAM seharusnya mengambil tindakan menolak pembekalan yang tidak menepati spesifikasi ditetapkan dan menuntut semula perbezaan harga yang dibayar dengan harga sebenar kasut getah dibekalkan.

Semakan juga mendapati papan luncur dan jet ski yang dibekalkan tidak mengikut spesifikasi daripada segi warna ditetapkan iaitu berwarna oren JPAM.

Proses pengauditan yang dijalankan ke atas JPAM dari Jun hingga September 2015 juga mendapati pengurusan perolehan bekalan dan perkhidmatan JPAM kurang memuaskan, termasuk berlakunya pecahan kecil dalam pengurusan perolehan bernilai RM5.8 juta.

Kelewatan menandatangani kontrak antara 93 hingga 554 hari dan kelewatan mengemukakan bon pelaksanaan antara 4 hingga 70 hari mengakibatkan kerugian bernilai RM0.65 juta, kata laporan itu.

“Peralatan antaranya seperti bot boleh kembung 12’, ‘commander signal baton’, topi keselamatan, set generator, pakaian kalis api, alat pernafasan dan papan luncur yang dibeli melebihi 250 hari tidak digunakan dan tidak diuji lari,” kata laporan itu.

Ia juga mendapati peralatan yang diagih ibu pejabat JPAM dan Pejabat Negeri JPAM (PNPA) tidak bersamaan dengan rekod terima di PNPA dan Pejabat Daerah JPAM. -BERNAMA
Labels:

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget