PAS bakal 'untung' di PRK Sungai Besar

Zuhdi mendakwa PAS kini hanya ketinggalan ratusan undi berbanding BN di Parlimen Sungai Besar.



GOMBAK: Pengarah Pusat Penyelidikan PAS, Dr Zuhdi Marzuki berpendapat pertembungan tiga penjuru di PRK Sungai Besar bakal memberi kelebihan kepada parti Islam itu.

Jelasnya, pandangannya itu dibuat berdasarkan peningkatan sokongan pengundi Melayu kepada PAS serta trend pengundi Cina kembali menyokong BN.

Katanya, pertembungan dua penjuru antara PAS dan BN akan menyaksikan pengundi Cina berpihak kepada BN, manakala pengundi Melayu berpecah antara kedua-dua parti itu.

Tambahnya, pertembungan dua penjuru antara Pakatan Harapan (PH) dan BN pula bakal menyaksikan situasi sama seperti PRU13 di mana majoriti pengundi Cina menyokong PH dan majoriti pengundi Melayu mengundi BN.

“Kalau bertanding tiga penjuru, sejumlah pengundi Cina tidak akan pergi kepada Pakatan Harapan. Jadi peluang kita lebih besar kerana sokongan pengundi Melayu terhadap PAS sekarang lebih kurang sama dengan BN,” katanya ketika ditemui pemberita selepas program ceramah di Taman Melewar semalam.

Menurut perangkaan terbaru Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), kawasan Parlimen Sungai Besar memiliki 67.18% pengundi Melayu, pengundi Cina (31%), pengundi India (1.91%) dan kaum lain (0.23%).

Terdahulu, Zuhdi dalam ucapannya berkata, kajian Pusat Penyelidikan PAS mendapati parti itu hanya ketinggalan ratusan undi berbanding undi yang diraih BN di Sungai Besar.

“Perubahan boleh berlaku jika kita kerja keras. Dengan sokongan pengundi Melayu dan sedikit lonjakan sokongan pengundi India, kita ada peluang,” katanya lagi.

PRU13 yang lalu menyaksikan calon PAS, Mohamed Salleh M Husin tewas tipis kepada calon BN, Allahyarhamah Datuk Noriah Kasnon dengan majoriti 399 undi.

Sementara itu, Exco PAS Selangor, Zaidy Abdul Talib dalam ucapannya mendakwa hasil tinjauannya mendapati sejumlah masyarakat Cina di Sungai Besar marah kepada DAP.

“Mereka ini marah kepada DAP kerana menjadi punca perpecahan Pakatan Rakyat. Kita yakin mereka akan menyokong PAS nanti,” kata Adun Taman Templer itu lagi.

PAS bakal mengumumkan calonnya bagi PRK Sungai Besar esok.-Free Malaysia Today

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget