Adenan masih mahu sekat pemimpin pembangkang Semenanjung?: SUARAM


KUCHING: Selepas berakhirnya pilihan raya negeri Sarawak ke-11 pada 7 Mei, adakah Ketua Menteri akan terus menyekat pemimpin politik dari Semenanjung?

Menjelang pilihan raya, terutama dalam tempoh kempen 12 hari, dari 25 April hingga 6 Mei, pihak imigresen telah menyekat atau mengehadkan tempoh kehadiran pemimpin dan aktivis di Sarawak dalam apa yang disifatkan pengkritik sebagai percubaan untuk menyekat mereka daripada berkempen.

Sebahagian daripada pemimpin DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkenaan dianggap mempunyai kemahiran dan kehebatan di atas pentas ceramah politik.

Tindakan Tan Sri Adenan Satem mengehadkan tempoh Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali di negeri ini juga dikritik pembangkang kerana kalaupun Adenan tidak melihat wajahnya, sebagaimana yang kerap digunakannya untuk mempertahankan calon BN yang dianggap lemah dan bermasalah, sekurang-kurang beliau melihat jawatan yang dipegang mereka. Mereka, sama seperti beliau adalah juga Ketua Menteri.

Bagaimanapun, Adenan berjanji untuk membenarkan mereka yang pernah disekat menjejakkan kaki di Bumi Kenyalang selepas pilihan raya, sekali gus menimbulkan persoalan dalam kalangan pengkritik dan pembangkang, apa sebenarnya agenda beliau.

Pembangkang bertanya, adakah selepas pilihan raya mereka ini tidak lagi fanatik atau ekstremis agama, budaya dan kaum, kerana asas sekatan pihak imgresen adalah atas faktor tersebut.

Ketua Menteri berkata, beliau ingin memelihara keharmonian dan perpaduan masyarakat pelbagai etnik di Sarawak daripada ancaman unsur terbabit.

Dalam pembentukan kabinet baharu, Adenan telah memasukkan elemen solidariti atau perpaduan di bawah Kementerian Belia, Sukan dan Perpaduan, dengan menterinya ialah Datuk Seri Michael Manyin Jawong, sekali gus membayangkan fokus dan keprihatinan beliau terhadap pentingnya kesepaduan sosial dipelihara.

Jumaat, S Arutrchelvan, aktivis NGO Suara Rakyat Malaysia (Suaram) menjadi mangsa terakhir sekatan berkenaan.

Dalam satu kenyataan pengarah eksekutif Suaram Sevan Doraisamy berkata, memandangkan sokongan kuat diberi pengundi dan rakyat sarawak kepada Adenan, Suaram meminta kerajaan Sarawak agar memberi komitmen kepada gerakan hak asasi manusia, dan memberi laluan kepada aktivis berkenaan untuk menjalankan aktiviti latihan.

“Hakikat bahawa beliau disekat daripada memasuki Sarawak apabila beliau sebenarnya berada di sana untuk menjalankan program latihan hak asasi manusia kepada rakyat Sarawak dapat ditafsirkan sebagai sikap tidak mempedulikan hak asasi manusia kerajaan Sarawak,” kata Sevan.

Barisan Nasional menang 72 daripada 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan undi popular meningkat daripada 55 peratus kepada sekitar 63 peratus. – Sarawakvoice.com

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget