Kabinet baru akan bekerja lebih gigih - Adenan


KUCHING: Barisan kabinet negeri yang baharu akan bekerja lebih gigih untuk meneruskan pembangunan dan menunaikan janji-janji kepada rakyat ke arah mencapai impian Sarawak sebuah negeri maju.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem berkata, anggota kabinet yang turut merangkumi tiga Timbalan Ketua Menteri juga meneruskan rancangan pembangunan di kawasan luar bandar.

Adenan berkata, tiga timbalannya yang terdiri daripada Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Tan Sri Datuk Amar James Masing dan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berperanan penting dalam membantunya merealisasikan matlamat-matlamat berkenaan.


“Masa untuk bercakap sudah tamat dan kini tiba masa untuk kita bertindak. Kita akan meneruskan apa yang telah kita lakukan sebelum ini,” katanya pada sidang media selepas menghadiri majlis angkat sumpah oleh menteri-menteri kabinet di hadapan Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud di Dewan Lapau, Bangunan Dewan Undangan Negeri di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Adenan yang juga Menteri Kewangan dan Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar berkata, kabinet itu dianggotai menteri yang sanggup serta berkebolehan bekerja untuk rakyat malah ia telah terbukti sebelum ini.

“Saya sebenarnya perlukan lebih banyak menteri kerana tanggungjawab kerajaan kian besar tetapi apa yang ada pada saya ketika ini adalah memadai.

“Kami perlu meminda perlembagaan negeri pada sidang Dewan Undangan Negeri jika kami mahu menambah jumlahnya,” ujarnya.

Mengenai lantikan menteri muda, beliau berkata ia akan dibuat dan diumumkan tidak lama lagi selepas beliau meneliti dan melakukan beberapa penyesuaian.

Menjawab satu soalan mengenai royalti minyak, beliau berkata kerajaan negeri akan terus berusaha berunding dengan kerajaan persekutuan apabila harga minyak dunia bertambah baik.

“Tidak, kami tidak pernah lupakan isu ini. Sekiranya kerajaan Persekutuan telah lupa, kami akan terus mengingatkan mereka,” katanya secara berseloroh.

Lantikan kabinet yang terdiri daripada 11 kementerian dan 10 menteri (termasuk Ketua Menteri) itu berkuat kuasa semalam.

Adenan selain itu turut memegang porfolio sebagai Menteri Kewangan serta Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar.

Uggah, Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) selain Timbalan Ketua Menteri, juga dilantik sebagai Menteri Pemodenan Pertanian dan Ekonomi Luar Bandar.

Masing, Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) selain Timbalan Ketua Menteri, turut memegang portfolio Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pengangkutan.

Manakala, Abang Johari (Timbalan Presiden PBB) selain Timbalan Ketua Menteri, turut memegang portfolio Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan selain Menteri Perumahan dan Urbanisasi.

Dato Sri Wong Soon Koh sebagai Menteri Kewangan Kedua, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan (Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua serta Menteri Pembangunan Usahawan dan Industri, Perdagangan dan Pelaburan), Dato Sri Michael Manyin Jawong (Menteri Belia dan Sukan dan Perpaduan) dan Datuk Fatimah Abdullah (Menteri Kebajikan, Wanita dan Kesejahteraan Masyarakat).

Sementara menteri penuh yang baharu dilantik ialah Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Datuk Dr Sim Kui Hian sebagai Menteri Kerajaan Tempatan, manakala Datuk Dr Stephen Rundi Utom sebagai Menteri Kemudahan Awam, satu-satunya menteri muda yang diangkat sebagai menteri penuh.

Barisan kabinet baharu kerajaan negeri Sarawak diumumkan selepas enam hari BN menerima mandat baharu untuk meneruskan kesinambungan pentadbiran.

PRN11 menyaksikan BN memperoleh kejayaan besar apabila memenangi 72 daripada 82 kerusi Dewan Undangan Negeri yang dipertandingkan.

-Borneo Post Online

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget