Pas jangan salahkan Pakatan Harapan


KOTA BHARU - Pas tidak boleh menyalahkan Pakatan Harapan jika berlaku pertembungan tiga penjuru di PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar kerana ia adalah kesan daripada Pas sendiri yang bersikap angkuh dengan rakan pembangkang lain.

Ketua Pemuda Amanah Kelantan, Hazmi Hassan berkata, tambahan pula pendirian Pas sekarang dilihat seolah-olah memihak kepada BN, yang suatu ketika dahulu pada zaman Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat adalah seteru utama politik mereka.

“Demokrasi berparlimen yang diamalkan di Malaysia menerusi pilihan raya menjamin semua parti yang sah berdaftar sebagai berhak bertanding.

“Pas kena terima hakikat bahawa akibat daripada keengganan Pas untuk menyertai blok majoriti pembangkang iaitu Pakatan Harapan yang dianggotai oleh PKR, DAP dan Amanah, maka Malaysia sekarang ada dua blok pembangkang. Pakatan Harapan dan Blok Ketiga iaitu Pas dan Ikatan,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau diminta mengulas mengenai kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkaitan peringatan kepada parti lain yang mahu meletakkan calon di Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar agar mengukur baju di badan sendiri.

Abdul Hadi berkata, Pas mempunyai sokongan akar umbi yang kuat di dua kawasan itu dan akan meletakkan calon di kedua-dua kerusi tersebut.

Menurutnya, Pas mengumumkan blok ketiga selepas Pakatan Harapan diumumkan, maka Pas perlu berlapang dada dan ke meja rundingan bukan masuk PRK dengan beremosi.

Beliau berkata, sepatutnya pemimpin perlu hormati hak rakyat untuk buat keputusan parti mana yang terbaik, dan inilah demokrasi yang diamalkan di Malaysia.

“Dalam negara demokrasi, semua orang berhak untuk mengukur baju di badan sendiri. Mungkin baju itu tak muat untuk dipakai sekarang, namun siapa tahu akan datang baju itu sudah boleh dipakai, sesuai malah lebih cantik,” katanya.

- Sinar Online

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget